Tiada program khusus pantau harga rumah lepas SST

Zuraida ketika sidang media selepas Majlis Amanat Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sempena Tahun Baharu 2019.
Zuraida ketika sidang media selepas Majlis Amanat Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sempena Tahun Baharu 2019.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan tidak mempunyai sebarang program atau kajian tertentu yang memantau harga rumah selepas pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin berkata, demikian ketika ditanya tentang perkembangan terbaharu harga rumah di pasaran selepas SST berkuatkuasa 1 September tahun lalu.

"Kita tak ada satu program spesifik ataupun kajian yang kita buat tentang (pemantauan harga) rumah," katanya pada sidang media selepas Majlis Amanat Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sempena Tahun Baharu 2019.

Sebelum ini, Zuraida dilaporkan memberi jaminan harga rumah akan turun selepas kerajaan melaksanakan SST pada September tahun lalu.

Katanya, ketetapan kerajaan untuk mengecualikan SST terhadap perkhidmatan pembinaan dan kos bahan binaan akan memberi kesan terhadap harga rumah selepas itu.

Dalam pada itu, Zuraida berkata, berdasarkan kajian dibuat Bank Negara Malaysia (BNM), institusi itu mencadangkan golongan B40 yang berpendapatan sebanyak RM3,000 hingga RM4000 mampu membeli rumah berharga sekitar RM169,000.

"Dengan harga itu, mereka mampu membuat bayaran sebanyak RM500 hingga RM600 sebulan," katanya.

Pada 30 Oktober lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan harga rumah baru belum dibina turun 10 peratus selepas pengecualian SST, namun ia hanya tertakluk kepada perumahan jenis bukan harga terkawal.

Artikel Berkaitan: