X

Kindly register in order to view this article
!

Melaka bakal miliki Terminal Kapal Persiaran Antarabangsa pada 2022

Adly
A
A

MELAKA - Melaka bakal memiliki Terminal Kapal Persiaran Antarabangsa pertama pada 2022 di pesisir pantai berhampiran kawasan Encore Melaka di sini.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, projek berkenaan diyakini mampu memacu pembangunan ekonomi, logistik dan pelancongan selain menjadi pemain penting dalam memajukan lagi ekonomi dan pembangunan sosial negeri yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

"Terminal ini akan membolehkan kapal persiaran berlabuh terus ke terminal menggantikan perkhidmatan 'fiddle boat' untuk membawa pelancong dari kapal persiaran yang berlabuh di kawasan cetek.

"Projek ini bukan sahaja boleh meningkatkan sektor pelancongan negeri malah mampu memberi impak kepada sektor ekonomi negeri dari segi penyediaan peluang pekerjaan," katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat exco negeri di sini.

Beliau berkata, kerajaan negeri sedang berbincang dengan Encore Melaka bagi memuktamadkan jumlah kos yang perlu ditanggung untuk projek yang mengambil masa dua tahun untuk siap sepenuhnya.

Projek itu turut mendapat kerjasama operator kapal persiaran dari Singapura.

Adly berkata, tahun lepas, Melaka menerima 60 kapal persiaran dengan setiap kapal membawa kira-kira 2,000 pelancong menggunakan terminal sedia ada iaitu masing-masing di Melaka Marina dan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQ) Melaka.

"Kita yakin jumlah tersebut akan meningkat selepas pembukaan Terminal Kapal Persiaran Antarabangsa berhadapan Selat Melaka," katanya.

Terminal Kapal Persiaran Antarabangsa di Encore Melaka itu merupakan satu daripada tiga pelabuhan yang sedang dibangunkan kerajaan negeri dan agensi berkaitan.

Dua terminal lain ialah Pelabuhan Tanjung Bruas dan Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP). - Bernama