SPRM teliti tindakan Nga Kor Ming umum peruntukan dana di PRK KKB

Azam Baki
Azam Baki
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang meneliti tindakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, yang mengumumkan peruntukan dana infrastruktur ke Kuala Kubu Bharu (KKB), baru-baru ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya akan meneliti sama ada perkara yang berlaku itu berunsur rasuah atau sebaliknya.

"Perkara (kejadian) itu diambil kira oleh pusat aduan (SPRM) dan setakat ini tiada kertas siasatan yang dibuka,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Peluncuran Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini pada Selasa.

Pada 18 April, Nga mengumumkan peruntukan RM5.21 juta kepada Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS), bagi menambah baik infrastruktur awam di daerah itu, namun tindakan itu dikritik beberapa pihak yang mendakwa dana itu diluluskan demi kepentingan politik menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) KKB.

Dalam perkembangan berasingan, Azam berkata, pihaknya tidak berhasrat untuk menahan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, berhubung isu pengisytiharan harta.

"Itu tidak lagi. Kita tidak berhasrat untuk tahan beliau (Mahathir)...siasatan masih dijalankan,” katanya.

Azam sebelum ini mendedahkan bahawa Tun Mahathir Mohamad antara individu berprofil tinggi yang disiasat SPRM, berhubung pengisytiharan harta yang mendorong kedua-dua anak beliau, Datuk Mirzan Mahathir dan Tan Sri Mohkzani Mahathir diberi notis untuk mengisytiharkan harta dalam tempoh yang dinyatakan dalam notis di bawah Seksyen 36 Akta SPRM 2009. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan: