Tapir betina 350kg mati dilanggar

Seekor tapir betina seberat 350kg yang ditemui mati di Jalan Padang Tembak Kluang. - Foto Ihsan Perhilitan
Seekor tapir betina seberat 350kg yang ditemui mati di Jalan Padang Tembak Kluang. - Foto Ihsan Perhilitan
A
A
A

KLUANG - Seekor tapir betina dewasa ditemui mati dilanggar kenderaan di Jalan Padang Tembak, Kluang di sini semalam.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri, Salman Saaban berkata, haiwan yang dikategorikan sebagai terancam itu dianggarkan berusia 7 tahun dengan berat 350 kilogram.

Menurutnya, Pejabat Perhilitan Daerah Kluang telah menerima satu panggilan telefon mengenai penemuan bangkai haiwan terbabit di Jalan Padang Tembak, Kluang pada jam 8 pagi.

"Terdapat kesan kecederaan di bahagian kepala tapir tersebut di mana mulutnya berdarah dan berbuih disyaki kesan dilanggar yang menyebabkan kematiannya.

"Menurut maklumat diperoleh, ia dipercayai berlaku pada tengah malam 15 Januari sebelum dijumpai oleh orang ramai pada awal pagi keesokan harinya.

"Keadaan jalan yang gelap dan agak lurus mungkin menyebabkan pemandu tidak perasan tapir sedang melintas," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Salman, bangkai tapir tersebut telah ditanam di Ladang Mados Tanah Abang, Mersing dengan kerjasama pihak ladang.

Katanya, kejadian terbaru ini merupakan kes ketiga tapir mati dilanggar di Johor pada tahun ini.

Artikel Berkaitan:

"Kes pertama berlaku pada 5 Januari lalu di Batu 20, Jalan Kota Tinggi-Mersing, manakala kes kedua berlaku pada 13 Januari 2020 (Isnin) di Jalan Tanjung Balau-Sedili Kecil melibatkan seekor tapir betina dianggarkan berumur 6 tahun seberat 250kg," katanya.