KRT Taman Sutera Wangi Fasa Baharu rayu kemudahan tadika

Anuar (dua dari kiri) dan Adam (tengah) bergambar bersama sebahagian AJK Taman Sutera Wangi Fasa Baharu ketika majlis itu, di Batu Berendam, pada malam Jumaat.
Anuar (dua dari kiri) dan Adam (tengah) bergambar bersama sebahagian AJK Taman Sutera Wangi Fasa Baharu ketika majlis itu, di Batu Berendam, pada malam Jumaat.
A
A
A

MELAKA - [DIKEMAS KINI] Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Sutera Wangi Fasa Baharu merayu supaya kawasan lapang di Jalan SW24, di sini dibangunkan kemudahan tadika di taman berkenaan.

Pengerusinya, Anuar Jaafar berkata, sejak fasa dua taman itu diwujudkan lebih 10 tahun lalu, belum ada sebarang kemudahan taman asuhan kanak (Taska) mahupun tadika, menyebabkan ibu bapa terpaksa menghantar anak-anak jauh dari kediaman itu.

Menurutnya, tanah lapang berkeluasan 1,679 meter persegi di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), telah dirizab bagi kemudahan tersebut sekali gus bangunan tadika itu dapat dijadikan medium komuniti setempat.

"Kita telah memberi cadangan ini kepada Ahli Parlimen Yang Tuah Jaya, Adam Adli untuk dipertimbangkan pembinaannya kerana taman ini belum ada kemudahan tadika.

"Sekurang-kurangnya jika ada tadika, kita dapat guna sama bangunan itu untuk manfaat bersama terutama menjalankan aktiviti KRT," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra Perpaduan Taman Sutera Wangi dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran KRT Taman Sutera Wangi Fasa Baharu di Batu Berendam, di sini, pada malam Jumaat.

Antara penduduk yang hadir memeriahkan majlis itu.
Antara penduduk yang hadir memeriahkan majlis itu.

Hadir sama, Ahli Parlimen Yang Tuah Jaya, Adam Adli.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Anuar berkata, meskipun KRT tiada bangunan sendiri, namun bukan penghalang untuk pihaknya mengatur pelbagai program bagi mengeratkan silaturahim di antara penduduk pelbagai bangsa.

Menurutnya, kebiasaannya mereka akan menggunakan kawasan rumah jawatankuasa untuk mengadakan perbincangan atau sebarang mesyuarat berkaitan KRT.

"Sebelum ini kita telah melaksanakan beberapa program termasuk Gunting Rambut Rahmah dan gotong-royong memasak bubur lambuk pada Ramadan lalu.

"Jadi dengan kekuatan barisan ahli jawatankuasa yang komited dan sambutan yang diberikan penduduk, kita akan terus menganjurkan program-program yang dapat dinikmati komuniti taman ini," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!