X

Kindly register in order to view this article
!

Mustafi akui kecaman penyokong pengaruhi prestasi

Shkodran Mustafi - Foto AFP
A
A

PEMAIN pertahanan Arsenal, Shkodran Mustafi mengakui kecaman penyokong terhadapnya ekoran prestasi buruk The Gunners mempengaruhi persembahannya di atas padang.

Menurutnya, kritikan yang dilemparkan penyokong langsung tidak membantunya untuk meningkatkan prestasi sebaliknya menyebabkan kemerosotan sehingga gagal memberikan aksi terbaik dalam setiap perlawanan.

"Saya sering membaca kritikan penyokong terhadap saya dan ia melekat di fikiran. Adakah saya terlalu teruk?

"Pada ketika semuanya sukar buat Arsenal ketika ini, sudah tentu anda tidak suka apa yang anda baca. Saya juga tidak setuju dengan banyak komen dan ia menambah kesukaran bukan buat saya sahaja tetapi juga semua pemain," katanya.

Mustafi dibeli oleh Arsenal dari Valencia pada 2016 dan sudah melakukan 125 penampilan buat The Gunners dalam semua kejohanan selain turut menjaringkan sembilan gol dan empat bantuan gol.

Namun, karier pemain kelahiran Jerman itu tampak tidak menentu musim ini selepas hanya diturunkan sebanyak 10 kali sebagai pemain gantian dan hanya sekali berada dalam kesebelasan utama ketika menentang Norwich City.

"Bagi penyokong, mereka hanya melihat situasi di mana kesilapan terjadi di atas padang dan memarahi pemain. Kemudian pemain menjadi gugup kerana tidak mahu mengulangi kesilapan itu lagi.

"Tidak ada pemain yang mahu melakukan kesilapan dan penyokong kena memahami ia perkara biasa dalam setiap perlawanan," kata Mustafi.

Arsenal ketika ini berada di kedudukan ke-10 Liga Perdana Inggeris dan akan menentang Sheffield United Emirates esok.

"Perkara paling penting ketika ini adalah untuk bangkit kembali. Kami cuma perlu bersabar dan membentuk kembali pasukan. Saya harapkan penyokong dapat terus menyokong kami dan memberikan semangat," katanya.