Penutupan LRA Sungai Linggi: Kesan bau bahan bakar di Sungai Batang Penar

JASNS bersama BKSA menemukan kesan disyaki bahan bakar di sebuah premis susulan pencemaran air sehingga menjejaskan operasi LRA Sungai Linggi. (Gambar kecil: Veerapan)
JASNS bersama BKSA menemukan kesan disyaki bahan bakar di sebuah premis susulan pencemaran air sehingga menjejaskan operasi LRA Sungai Linggi. (Gambar kecil: Veerapan)
A
A
A

SEREMBAN - Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan (JASNS) bersama Badan Kawal Selia Air (BKSA) mengesan bau bahan bakar di Sungai Batang Penar dekat sini susulan pencemaran air sehingga menjejaskan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Linggi.

Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan berkata, pasukan siasatan sebelum itu menjalankan pemeriksaan di lembangan Sungai Linggi sebelum mengesan bau berkenaan di sungai terbabit.

"Pemeriksaan lanjut kemudiannya dilakukan di kilang-kilang berhampiran kawasan penemuan bahan bakar itu sebaik menerima maklumat pencemaran sungai pada Sabtu jam 7.40 malam.

"Sebuah premis dikesan menghasilkan bau yang sama pada air sungai, bagaimanapun punca pencemaran tidak dapat ditemukan, hanya terdapat kesan minyak dan bau yang disyaki petrol atau diesel di dalam longkang di dalam kawasan premis," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sebuah premis dikesan menghasilkan bau yang sama pada air sungai, bagaimanapun punca pencemaran tidak dapat ditemukan.
Sebuah premis dikesan menghasilkan bau yang sama pada air sungai, bagaimanapun punca pencemaran tidak dapat ditemukan.

Menurutnya, sebanyak tiga sampel diambil bagi tujuan analisa komposisi iaitu di Sungai Batang Penar, longkang dalam premis dan longkang keluar daripada premis terbabit untuk dihantar ke Jabatan Kimia.

"Arahan telah dikemukakan kepada premis terbabit bagi tindakan serta-merta untuk membendung apa-apa efluen keluar daripada premis ke longkang awam. Siasatan diteruskan hari ini," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan operasi LRA Sungai Linggi di sini terpaksa ditutup sementara berikutan terdapat masalah kualiti air mentah susulan terdapat bau minyak yang tinggi.

Artikel Berkaitan:

Pusat Khidmat Pelanggan Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) dalam satu kenyataan di Facebook memaklumkan bau minyak yang tinggi iaitu 19 ton menyebabkan pengeluaran pemprosesan air terawat terpaksa dihentikan untuk menepati piawaian kualiti air minum kebangsaan.

Berikutan itu sebahagian besar kawasan Port Dickson akan mengalami gangguan bekalan air dan beberapa kawasan tinggi dijangka akan mengalami tempoh pemulihan yang lebih lama.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!