Premis sorok lebih 5,000 liter diesel bersubsidi diserbu

Pegawai KPDN Perak membuat pemeriksaan ke atas sebuah lori yang digunakan sindiket dalam penyelewengan minyak diesel bersubsidi di Taiping. Foto ihsan KPDN Perak
Pegawai KPDN Perak membuat pemeriksaan ke atas sebuah lori yang digunakan sindiket dalam penyelewengan minyak diesel bersubsidi di Taiping. Foto ihsan KPDN Perak
A
A
A

TAIPING - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak berjaya membongkar kegiatan penyelewengan 5,510 liter minyak diesel bersubsidi yang disembunyikan di sebuah premis dalam ladang kelapa sawit di Trong di sini pada Sabtu.

Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan Op Tiris 3.0 sekitar jam 5 petang itu dijalankan pasukan penguat kuasa KPDN Cawangan Taiping hasil maklumat awam dan risikan yang dijalankan selama dua minggu.

"Modus operandi sindiket ini adalah menggunakan sebuah lori bertutup kanvas membuat pembelian minyak diesel di stesen minyak sekitar Segari dan Manjung secara berulang kali.

"Minyak diesel itu kemudian disimpan di premis yang tidak berlesen dalam ladang sawit sebelum dijual kepada pengguna industri dengan mengambil keuntungan berlipat kali ganda," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sebuah premis dalam ladang kelapa sawit di Trong diserbu KPDN Perak selepas dikesan menyimpan lebih 5,000 liter minyak diesel bersubsidi di Taiping. Foto ihsan KPDN Perak
Sebuah premis dalam ladang kelapa sawit di Trong diserbu KPDN Perak selepas dikesan menyimpan lebih 5,000 liter minyak diesel bersubsidi di Taiping. Foto ihsan KPDN Perak

Menurut beliau, dua lelaki berusia 28 dan 56 tahun dipercayai pemandu lori dan majikan telah ditahan untuk siasatan lanjut.

"Cecair yang disyaki minyak diesel, enam tangki peralatan pam penyedut, kamera litar tertutup (CCTV), dan sebuah lori telah disita untuk siasatan lanjut.

"Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM38,389.20," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kamalludin berkata, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!