KPDN Temerloh rampas 5,000 liter minyak diesel

Anggota penguat kuasa menjalankan pemeriksaan pada tangki minyak terbabit.Foto KPDN
Anggota penguat kuasa menjalankan pemeriksaan pada tangki minyak terbabit.Foto KPDN
A
A
A

TEMERLOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Temerloh merampas 5,000 liter minyak diesel di tapak pembinaan di Pamah Kasih di sini pada Isnin.

Ketua KPDN Cawangan Temerloh, Abdul Razak Yahaya berkata, serbuan anggota penguat kuasa cawangan itu dilakukan menerusi Ops Tiris bagi membanteras penyelewengan minyak diesel.

Menurutnya, satu tangki penyimpanan minyak diesel ditemui di lokasi terbabit.

"Tangki terbabit menyimpan kira-kira 5,000 liter minyak diesel tanpa sebarang surat kebenaran Pengawal Bekalan Malaysia atau permit menyimpan barang kawalan yang sah.

"Maklumat awal diperolehi mendapati minyak diesel yang disimpan tersebut adalah untuk kegunaan jentera di tapak pembinaan tersebut," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Ujar beliau, dalam serbuan tersebut, pihak KPDN menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 59 tahun yang disyaki penyelia tapak projek berkenaan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Jelasnya, siasatan juga akan menjurus kepada sama ada pihak yang berkenaan menggunakan minyak diesel bersubsidi atau sebaliknya.

"Nilai rampasan bagi kes terlibat dianggarkan sebanyak RM30,300," tambahnya lagi.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata, KPDN memberi amaran kepada mana-mana individu supaya tidak melakukan aktiviti yang menyalahi undang-undang seumpama itu dan bagi pelanggaran undang-undang di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Hukuman yang dikenakan adalah berat iaitu bagi individu boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali dan bagi syarikat pula boleh didenda sehingga RM2 juta," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!