KBS masih kenal pasti lokasi sesuai bina velodrom terbuka - Hannah

Hannah menyampaikan ucapan perasmian pada Majlis Anugerah Bina Badan Enrich 2024, pada Sabtu. Foto Bernama
Hannah menyampaikan ucapan perasmian pada Majlis Anugerah Bina Badan Enrich 2024, pada Sabtu. Foto Bernama
A
A
A

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) masih mengenal pasti lokasi sesuai bagi membangunkan velodrom terbuka yang mudah diakses sebagai kegunaan awam untuk pelaburan jangka panjang pembangunan bakat muda di Malaysia.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, ini kerana sukan berkenaan merupakan antara yang menyerlah serta menyumbang pingat di kejohanan dalam dan luar negara.

"...untuk berbasikal trek ini apa yang saya nak usahakan sekarang adalah fasiliti di mana pembangunan bakat itu boleh berlaku. (Contohnya) sekarang (pelajar) di Lembah Klang tetapi velodrom di Nilai.

"(Jadi) tetapi kalau pelajar sekolah sekarang di Lembah Klang mereka nak sertai sukan ini tak ada tempat nak pergi. Itu yang saya sedang usahakan dekat KBS untuk kita ada velodrom terbuka,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Bina Badan Enrich 2024 di sini pada Sabtu.

Pada 9 Mac lepas, KBS memaklumkan sudah memulakan perbincangan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk meneliti kawasan sesuai bagi pembinaan velodrom terbuka untuk kegunaan awam.

Sementara itu, Hannah berkata, jawatankuasa Road To Gold (RTG) akan mengadakan perbincangan dalam masa terdekat mengenai pertimbangan kemasukan pelumba trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dalam program Fast Track di bawah program berkenaan selepas layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Hannah berkata, ketua jurulatih berbasikal trek kebangsaan John Beasley memuji potensi dimiliki pelumba berusia 21 tahun itu serta berharap kehadiran atlet muda menjadikan Malaysia tidak terlampau bergantung kepada kehebatan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang.

Terdahulu, KBS memberi suntikan dana menerusi peruntukan menteri sebanyak RM20,000 kepada Kelab Bina Badan Enrich untuk terus mengangkat martabat sukan berkenaan di sekitar Lembah Klang. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!