Rahsia Liverpool dalam poket saya: Solskjaer

Ole Gunnar Solskjaer
Ole Gunnar Solskjaer
A
A
A

PENGENDALI Manchester United (MU), Ole Gunnar Solskjaer mengakui mempunyai ramuan terbaik untuk menundukkan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool ketika bertandang ke Anfield awal pagi Isnin ini.

Menurutnya, corak permainan pasukan kendalian Jurgen Klopp itu sudah diteliti dan yakin MU mampu mencuri mata di kandang keramat The Reds.

"Sudah tentu ini perlawanan yang sukar. Dua perlawanan terakhir, kami mampu mengikat mereka di Old Trafford. Ia petanda baik bahawa kami mampu mengekang mereka.

"Kemenangan memang menjadi fokus saya dalam setiap perlawanan. Tetapi, saya rasa kami sudah menemui cara bermain yang bagus untuk menghadapi mereka dan mendapatkan mata dalam perlawanan itu," katanya.

Dalam dua perlawanan terakhir membabitkan kedua-dua pasukan pada Februari dan Oktober tahun lalu, The Red Devils berjaya mengikat Liverpool 0-0 dan 1-1 di Old Trafford.

Kata Solskjaer, Liverpool tetap menjadi pilihan utama untuk memenangi perlawanan tersebut, namun United akan hadir dengan misi mencipta kejutan ke atas calon juara EPL itu.

"Rekod seri dua perlawanan terakhir itu bukanlah jaminan, tetapi kami tahu mampu melakukan sesuatu. Saya percaya pemain saya sudah bersedia," katanya.

Dalam pada itu, Solskjaer masih menaruh harapan penyerangnya, Marcus Rashford dapat sempat pulih menjelang perlawanan menentang Liverpool nanti.

Artikel Berkaitan:

"Dia sebelum ini sudah mengalami kecederaan yang tidak terlalu serius dan makin parah selepas perlawanan menentang Wolverhampton.

"Rashford seorang penyerang yang bagus dan harapan buat pasukan. Kami akan lakukan apa sahaja yang termampu supaya dia cergas Isnin ini," katanya.