Anwar hadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 Pulau Pinang

Anwar ketika Majlis Penyampaian Cabutan Bertuah Aidilfitri Madani pada Majlis Penutup Program Madani 2024 Zon Utara dan Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 bersama Perdana Menteri Peringkat Negeri Pulau Pinang di Tapak Pesta Sungai Nibong, pada Ahad. Foto Bernama
Anwar ketika Majlis Penyampaian Cabutan Bertuah Aidilfitri Madani pada Majlis Penutup Program Madani 2024 Zon Utara dan Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 bersama Perdana Menteri Peringkat Negeri Pulau Pinang di Tapak Pesta Sungai Nibong, pada Ahad. Foto Bernama
A
A
A

GEORGE TOWN - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 Peringkat Pulau Pinang di Tapak Pesta Sungai Nibong, dekat sini.

Bertempat di pentas utama, majlis itu turut diadakan serentak dengan Majlis Perasmian Penutup Program Madani Rakyat 2024 Zon Utara yang berlangsung sejak Jumaat.

Anwar yang berbaju Melayu berwarna biru lengkap bersamping, tiba pada 10.50 pagi dengan disambut Ketua Menteri, Pulau Pinang Chow Kon Yeow serta Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Turut hadir Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Pada majlis itu, Perdana Menteri menikmati pelbagai hidangan selain beramah mesra dengan tetamu yang hadir sebelum melakukan tinjauan mesra di sekitar tapak program itu.

Antara juadah yang disediakan termasuk lontong, sate ayam, ketupat, lemang, rendang ayam, apam manis, cendol dan kambing bakar.

Majlis turut diserikan dengan beberapa persembahan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Pulau Pinang.

Terdahulu, Perdana Menteri menyampaikan ucapan sempena majlis perasmian penutup program itu selain menyempurnakan acara Penyampaian Manfaat Skim Insurans Kesejahteraan Rakyat (SIKR) dan Penyampaian Cabutan Bertuah Aidilfitri Madani. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!