85 kes jenayah komersial direkod setiap hari - JSJK

Ramli (tengah) dalam sidang akhbar pada Jumaat.
Ramli (tengah) dalam sidang akhbar pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kes jenayah komersial merekodkan purata 85 kes sehari pada tahun ini setakat 28 April lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sepanjang tempoh 17 minggu itu, sebanyak 10,106 kes direkodkan melibatkan nilai kerugian mencecah RM866.2 juta.

Menurutnya, sebanyak 4,880 kertas siasatan telah berjaya dituduh di mahkamah sepanjang tempoh ini dan jumlah terbabit adalah bersamaan 48 peratus daripada jumlah kertas siasatan yang dibuka pada tahun ini.

"Berbanding tempoh sama tahun lalu, direkodkan sejumlah 10,931 kes dan nilai kerugian RM534,393,834.

“Ini telah mencatatkan penurunan sebanyak 8.2 peratus kes namun nilai kerugian mencatatkan kadar peningkatan sebanyak 62.1 peratus," katanya dalam sidang akhbar pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Ramli berkata, peratusan pertuduhan ini juga lebih baik berbanding tempoh sama tahun 2023 yang mencatatkan sejumlah 4,598 pertuduhan atau bersamaan 42 peratus.

Dalam perkembangan lain, Ramli memberitahu, sebanyak 199,552 akaun bank dikenal pasti JSJK telah digunakan sindiket penipuan untuk melakukan pemindahan wang mangsa tipu.

Kata Ramli, akaun bank berkenaan dikenal pasti menerusi portal 'semakmule' yang berperanan sebagai medium perkongsian maklumat antara polis dan masyarakat.

Artikel Berkaitan:

“Daripada jumlah tersebut, 99,439 tangkapan telah berjaya dilakukan manakala sebahagiannya iaitu 22,113 atau 22.2 peratus telah berjaya dituduh di mahkamah,” ujarnya.

Tambah beliau, ramai dalam kalangan masyarakat masih tidak tahu mengenai portal semakmule yang mana membolehkan untuk membuat semakan nombor akaun bank individu dan syarikat yang telah dilaporkan terlibat dengan aktiviti penipuan.

Jelasnya, diharap portal sebegini dapat membantu masyarakat untuk menilai dan menentukan kesahihan sesuatu urus niaga atau urusan pembayaran yang sedang mereka lakukan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!