Gaji penjawat awam di Selangor naik

Amirudin semasa sidang akhbar di Dewan Annexe, SUK pada Jumaat.
Amirudin semasa sidang akhbar di Dewan Annexe, SUK pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam di negeri ini selaras dengan pengumuman kerajaan di peringkat Persekutuan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri akan mengambil langkah-langkah yang perlu bagi menyelaras dengan tatacara kewangan sedia ada.

"(Gaji penjawat awam Selangor) saya akan selaraskan semula setelah pekeliling dikeluarkan.

"Setakat ini, pekeliling belum dikeluarkan dan sudah pasti kerajaan negeri akan melaraskan semua gaji penjawat awam negeri ini," katanya ketika sidang akhbar di Dewan Annexe, SUK di sini pada Jumaat.

Amirudin memberitahu, peningkatan gaji di peringkat negeri Selangor harus menjadi dorongan kepada seluruh penjawat awam bahawa produktiviti kerja wajar sentiasa diperkukuh selaras dengan harapan rakyat yang tinggi bahawa sistem perkhidmatan kerajaan sentiasa ditingkatkan.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri menyambut baik pengumuman kadar kenaikan gaji penjawat awam oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan berkuatkuasa mulai Disember tahun ini.

"Pengumuman Perdana Menteri yang melibatkan gaji sektor awam wajar juga disambut oleh sektor swasta agar tangga gaji dan pendapatan rakyat di seluruh negara terus meningkat.

"Peningkatan gaji menjadikan negara antara berpendapatan di rantau ini sekali gus mengatasi cabaran kos sara hidup yang meningkat terutamanya di negara-negara maju," tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!