Pelawak kena tambah ilmu jika tidak mahu ketinggalan

Sabri ketika bercakap pada Wacana Sinar Harian Siri ke-150 bertajuk Transkrip Wacana Cabaran Pelawak: Dahulukan Rezeki atau Emosi? di Dewan Karangkraf di sini malam tadi. - FOTO MOHD IZARI ROSLI
Sabri ketika bercakap pada Wacana Sinar Harian Siri ke-150 bertajuk Transkrip Wacana Cabaran Pelawak: Dahulukan Rezeki atau Emosi? di Dewan Karangkraf di sini malam tadi. - FOTO MOHD IZARI ROSLI
A
A
A

SHAH ALAM - Pelawak pada hari ini tidak boleh lagi bergantung pada kelucuan fizikal semata, sebaliknya perlu mengambil inisiatif melengkapkan diri dengan ilmu.

Pelakon dan Pengarah, Sabri Yunus berkata, ini kerana peranan pelawak pada era ini sudah berbeza dan ia bukan hanya lagi untuk memastikan orang ketawa tetapi menjadi lebih besar iaitu untuk memberi teguran dan kritikan.

"Lawak pada hari ini perlu mengkritik benda-benda yang sedang besar (isu) dan jika kita mahu meletakkan peranan lawak sebagai teguran, kepala seseorang pelawak itu harus menjadi sangat bijak dan berilmu terlebih dahulu.

"Jadi pelawak pada era ini tidak boleh datang sekadar dengan kelucuan-kelucuan fizikal yang ada pada dirinya semata tetapi perlu ada ilmu agar lawak itu dapat memberi sesuatu kepada pendengar atau penonton," katanya pada Wacana Sinar Harian Siri ke-150 bertajuk Cabaran Pelawak: Dahulukan Rezeki atau Emosi? di Dewan Karangkraf di sini malam tadi.

Katanya, jika pelawak-pelawak ini gagal mempersiapkan diri dengan ilmu, mereka akan ketinggalan kerana lawak pada hari ini harus terus ke depan dan tidak boleh sekadar mengutip lawak-lawak di kaki lima dan kedai kopi.

"Tidak boleh tidak, anda (pelawak) harus bijak, sentiasa belajar, banyak membaca dan perlu minat sastera dan sebagainya," katanya.

Wacana yang dimoderatorkan Ketua Pusat Pengajian Teater Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Norzizie Zulkifli itu turut menampilkan dua lagi panel iaitu Juara Maharaja Lawak Mega (MLM) 2019, Ali Puteh dan pelawak yang begitu popular dengan panggilan Pak Kodi melalui sitcom JKK, Ropie.

Artikel Berkaitan:

Sabri (kanan) bersama barisan panel yang lain pada program Wacana Sinar Harian Siri ke-150 bertajuk Transkrip Wacana Cabaran Pelawak: Dahulukan Rezeki atau Emosi? di Dewan Karangkraf di sini malam tadi. - FOTO MOHD IZARI ROSLI
Sabri (kanan) bersama barisan panel yang lain pada program Wacana Sinar Harian Siri ke-150 bertajuk Transkrip Wacana Cabaran Pelawak: Dahulukan Rezeki atau Emosi? di Dewan Karangkraf di sini malam tadi. - FOTO MOHD IZARI ROSLI

Dalam pada itu, Sabri turut menyifatkan berlawak di kaca televisyen sebagai perkara yang sangat sukar berbanding membuat lawak di tempat terbuka seperti dewan dan sebagainya.

"Kalau dalam dewan, kita boleh nampak siapa penonton kita tapi jika di televisyen, kita tidak tahu kayu ukur kita di mana, siapa penonton kita, mentaliti apa dan peringkat umur apa yang melihat kita, sama ada mereka suka atau tidak dengan kita.

"Oleh itu, amat perlu untuk kita menyediakan diri dengan pelbagai informasi serta memikirkan bagaimana untuk menggunakan informasi yang besar dan serius. Jangan lagi gunakan bahan lawak yang memang sudah lawak tetapi gunakan bahan-bahan yang serius kerana percayalah lebih serius, akan jadi lebih lawak," katanya.