Isu penyeludupan dan kejayaan rampasan

No Image Caption
A
A
A

PENYELUDUPAN rentas sempadan bukan isu baharu. Perkara itu diakui oleh Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyatakan bahawa isu penyeludupan dan sebagainya di sempadan negara memang disedari sudah lama berlaku.

Pendedahan rakaman video oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menunjukkan aktiviti penyeludupan dan pembolosan di sempadan Malaysia-Thailand pada 18 Oktober 2019 umpama membuka mata pihak berkuasa.

Rakaman video yang ditunjukkan membabitkan aktiviti penyeludupan di sempadan Padang Besar, Perlis dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Padang Besar.

Klip video antara tahun 2017 hingga Mei 2019 itu antara lain menunjukkan penyeludup memotong pagar sempadan dan membawa keluar barang bersubsidi, selain anggota keselamatan kelihatan tidak mengambil tindakan.

Pendedahan klip video itu mungkin menunjukkan ada ketirisan dalam penguatkuasaan di sempadan namun tidak boleh dinafikan komitmen dan kecekapan anggota keselamatan di sempadan negara hingga mampu menumpaskan cubaan menyeludup.Kejayaan polis merampas dadah bernilai RM144.9 juta di sekitar Lembah Klang kelmarin sekali gus telah membongkar kegiatan sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah yang menjadikan kediaman mewah sebagai tempat pengoperasiannya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, polis merampas dadah disyaki syabu seberat 309.8 kilogram (kg), heroin base (12.7kg), pil ekstasi (637.7 kg), pil erimin 5 (564.8 kg), ketamin (3.4kg) dan kokain (6.5kg).

Membanteras

Menurut Abdul Hamid, pihak Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik juga akan mengadakan pertemuan dengan 116 syarikat kurier seluruh negara bagi membanteras kegiatan pengedaran dadah yang memanipulasikan syarikat perkhidmatan itu untuk mengedar dadah.

Kejayaan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan menggagalkan 44 kes penyeludupan pelbagai jenis barangan membabitkan rampasan bernilai RM10.6 juta sepanjang Op Wawasan Kelantan yang dilaksanakan bermula 16 Disember 2019 sehingga 12 Januari lalu turut membanggakan.

Artikel Berkaitan:

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7 Kuantan, Superintendan Azhari Nusi berkata, kejayaan terbesar PGA ialah rampasan dadah jenis syabu seberat 100 kilogram bernilai RM7 juta manakala rampasan kedua tertinggi membabitkan sembilan kes berkait dengan veterinar berjumlah RM1.4 juta.

Pada 10 September tahun lalu, polis menumpaskan satu sindiket penyeludupan dadah antarabangsa apabila merampas 12 tan kokain dicampur dengan arang batu bernilai RM2.4 bilion dalam tiga kontena di Terminal Kargo Utara Butterworth, Pulau Pinang.

Bagi Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Kelantan, 48 kes tangkapan dilaporkan sejak Januari sehingga Mei tahun lalu melibatkan nilai rampasan berjumlah RM1.13 juta.

Pada 29 Ogos 2019, Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 960,000 batang rokok bernilai RM6.024 juta dari Filipina ke Sandakan.

Walaupun pelbagai rampasan berjaya dilakukan, namun aktiviti penyeludupan seakan-akan sukar dikekang. Pelbagai langkah juga telah diambil oleh kerajaan dalam menangani isu itu.

Media pada 23 Disember 2018 melaporkan, usaha kerajaan memasang sebanyak 69 alat pengimbas di seluruh pintu masuk ke negara ini adalah langkah menangani isu penyeludupan, khususnya rokok, menjelang hujung tahun 2019.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, ia membabitkan 55 alat pengimbas kontena yang akan dipasang di pelabuhan dan kawasan sempadan, manakala lapan bagi bagasi dan enam (tubuh) yang akan digunakan di lapangan terbang di seluruh negara.

Menurut Guan Eng, ia bagi membolehkan penguatkuasaan ke atas penyeludup dan penjual rokok putih ditingkatkan sekali gus mengurangkan ketirisan sehingga RM5 bilion akibat kegiatan itu.

*Pupe Rahaizad Darsono ialah Penolong Editor Sinar Harian