Influenza: Atlet, pelajar diminta waspada ketika latihan

Wan Sukairi (kiri) bertanya khabar dengan abang arwah, Badrul Hisham Bidin, 40, (kanan).
Wan Sukairi (kiri) bertanya khabar dengan abang arwah, Badrul Hisham Bidin, 40, (kanan).
A
A
A

HULU TERENGGANU - Atlet dan pelajar sekolah di Terengganu diingatkan supaya lebih berwaspada ketika menjalankan latihan dan aktiviti di luar, bagi mengelakkan terkena jangkitan virus influenza.

Exco Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, walaupun tiada kes melibatkan atlet setakat ini, pihaknya mengambil langkah waspada, bagi mengelakkan ia menular.

Menurutnya, penekanan khusus juga diberikan kepada atlet Terengganu yang bakal menggalas tanggungjawab pada Sukan Malaysia (Sukma) di Johor pada Julai ini, agar memastikan tahap kesihatan mereka dalam keadaan terbaik.

"Setakat ini saya dimaklumkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu bahawa virus influenza masih lagi terkawal, bahkan mereka menasihati agar semua rakyat berhati-hati dan jangan terlalu obses sehingga menimbulkan suasana panik.

"Bagaimanapun dari aspek kesihatan atlet khususnya dan masyarakat di Terengganu, kita mengharapkan mereka lebih berwaspada dan menitik beratkan aspek penjagaan kesihatan supaya bebas daripada sebarang virus mahupun wabak yang menular ketika ini.

"Saya juga ingin mengingatkan agar mereka mengambil langkah pencegahan dari awal dan mengikuti garis panduan yang dikeluarkan oleh pihak kesihatan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat keluarga bekas pemain hoki Terengganu, arwah Syamiru Aiman Bidin, 27, yang meninggal dunia Ahad lalu akibat kanser di Kampung Kua, Ajil, hari ini.

Sehingga kini, sembilan kes jangkitan influenza direkodkan di Terengganu membabitkan mangsa yang berusia antara 3 hingga 38 tahun.

Artikel Berkaitan: