20 jam lolos selepas ditembak

Suspek ditahan di sebuah rumah di Kampung Jelor, Pasir Puteh pada jam 12 tengah hari hari ini.
Suspek ditahan di sebuah rumah di Kampung Jelor, Pasir Puteh pada jam 12 tengah hari hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang suspek yang cedera ditembak selepas melibas parang terhadap polis dalam serbuan di sebuah pondok kosong di Kampung Padang Mengkali, Melor di sini semalam ditahan semula hari ini selepas hampir 20 jam meloloskan diri.

Suspek yang berusia 36 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Kampung Jelor, Pasir Puteh pada jam 12 tengah hari, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Wan Khairuddin Wan Idris berkata, suspek yang mempunyai 10 rekod jenayah lampau tersebut ditangkap pihak polis hasil maklumat orang awam.

Menurutnya, semalam anggota menyerbu pondok kosong di Kampung Padang Mengkali, Melor pada jam 4.30 petang dan ternampak kelibat seorang individu berada di pondok itu.

“Suspek yang menyedari kehadiran kami bertindak agresif dan cuba melibas parang ke arah anggota yang melakukan serbuan.

“Bagi tujuan mempertahankan diri dan juga keselamatan, salah seorang anggota melepaskan tembakan dan terkena pada bahagian tangan kiri suspek,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Wan Khairuddin berkata, selepas terkena tembakan itu suspek kemudian melarikan diri dengan merampas motosikal penduduk yang dalam perjalanan balik dari masjid.

“Motosikal mangsa ditemui ditinggalkan pada jarak satu kilometer dari lokasi kejadian.

Artikel Berkaitan:

“Semakan rekod mendapati suspek mempunyai 10 rekod jenayah lampau termasuk kes dadah, senjata merbahaya, kesalahan curi, khianat dan pecah rumah,” katanya.

Katanya, suspek ditahan bagi membantu siasatan kerana menyerang anggota yang melakukan serbuan dan dikenakan perintah tahanan reman bermula esok.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya.