Bomba Australia selamatkan 'pokok dinosaur'

Pokok pain Wollemi tersebut terselamat dalam kebakaran belukar dahsyat yang berlarutan selama tiga bulan di Australia. - Foto Agensi
Pokok pain Wollemi tersebut terselamat dalam kebakaran belukar dahsyat yang berlarutan selama tiga bulan di Australia. - Foto Agensi
A
A
A

SYDNEY - Sebuah operasi rahsia dilakukan pakar bomba telah menyelamatkan spesies prasejarah, pain Wollemi yang juga dikenali sebagai 'pokok dinosaur' daripada kebakaran belukar dahsyat di Australia.

Kurang daripada 200 pokok itu masih wujud di Gunung Biru di barat laut Sydney yang tersenarai dalam Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).

Pasukan bomba dilaporkan menempatkan tangki udara untuk melepaskan bahan perencat api untuk menjadi pelindung di sekeliling pokok dinosaur berkenaan ketika kebakaran mula menghampiri kawasan tersebut pada akhir tahun lalu.

Mereka turut menggali sistem pengairan bagi menyediakan kelembapan untuk pokok tersebut.

Menteri Alam Sekitar New South Wales (NSW), Matt Kean yang meliputi kawasan Gunung Biru menyifatkan operasi itu sebagai 'misi perlindungan alam sekitar yang belum pernah berlaku'.

"Operasi tersebut berjaya menyelamatkan pokok terbabit," ujarnya.

Rekod fosil menunjukkan spesies pain tersebut berusia lebih 200 juta tahun pada zaman kewujudan dinosaur namun dipercayai pupus sehingga hutan Wollemi ditemui pada tahun 1994.

Difahamkan, lokasi pokok tersebut terpaksa dirahsiakan untuk melindungi pokok terbabit dan ia turut diagihkan ke taman botani di seluruh dunia walaupun Wollemi adalah habitat asalnya. - AFP

Artikel Berkaitan: