Pengerusi koperasi didakwa salah guna wang koperasi RM422,440

Tertuduh (kanan) ketika berbincang sesuatu dengan peguamnya.
Tertuduh (kanan) ketika berbincang sesuatu dengan peguamnya.
A
A
A

SEREMBAN - Pengerusi Koperasi Felda Palong Empat Negeri Sembilan Berhad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini pada Selasa atas pertuduhan menyalahgunakan wang koperasi berkenaan berjumlah RM422,440 pada tahun 2020 dan 2021.

Tertuduh Zainol Ishak, 73, membuat pengakuan berkenaan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh sebagai Pengerusi Koperasi Felda Palong Empat Negeri Sembilan Berhad dengan secara tidak jujur menyalahgunakan harta untuk diri sendiri, iaitu wang sejumlah RM422,440 daripada akaun bank milik koperasi itu.

Perbuatan itu dilakukan antara bulan Ogos 2020 hingga November 2021 di sebuah bank di Jalan Tampin, Gemas.

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Azriff Firdaus Mohammad, manakala tertuduh diwakili peguam Shahidah Muslimah Roslan.

Tertuduh (kanan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan menyalahgunakan wang koperasi berkenaan berjumlah RM422,440 pada tahun 2020 dan 2021.
Tertuduh (kanan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan menyalahgunakan wang koperasi berkenaan berjumlah RM422,440 pada tahun 2020 dan 2021.

Sebelum itu, pihak pendakwaan menawarkan wang jaminan sebanyak RM40,000 dengan seorang penjamin.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh dalam rayuannya melalui Shahidah Muslimah memohon mahkamah mengurangkan wang jaminan dengan alasan tertuduh masih menanggung seorang isteri dan empat cucunya yang merupakan anak yatim.

"Tiga anak orang kena tuduh (OKT) telah berkahwin dan mempunyai komitmen masing-masing. Untuk makluman, empat cucu OKT anak yatim memandangkan ayah meninggal dunia sebab demam panas.

"OKT juga sudah berkhidmat dalam Felda sejak 1982 yang mana lebih kurang 42 tahun sudah berkecimpung dan menyumbang bakti kepada masyarakat," katanya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan wang jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan perlu melapor diri di pejabat SPRM Seremban pada Sabtu pertama setiap bulan dan menyerahkan passport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 30 Mei ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!