Akauntan maut dirempuh kereta gagal buat pusingan U

Kereta mangsa mengalami kerosakan di bahagian hadapan selepas dirempuh kereta dipandu seorang wanita yang membuat pusingan U di Greentown. Foto ihsan Bomba Perak
Kereta mangsa mengalami kerosakan di bahagian hadapan selepas dirempuh kereta dipandu seorang wanita yang membuat pusingan U di Greentown. Foto ihsan Bomba Perak
A
A
A

IPOH - Seorang akauntan maut selepas kereta dipandunya dirempuh kenderaan yang hilang kawalan ketika membuat pusingan U di persimpangan Jalan Dato Seri Ahmad Said dekat Greentown di sini pada Isnin.

Dalam kejadian jam 8.45 pagi itu, Poong Min Sum, 31, disahkan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian dada.

Kemalangan melibatkan kereta jenis Honda City yang dipandu mangsa manakala kereta jenis Peugeot dipandu wanita berusia 45 tahun.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila kereta milik wanita terbabit membuat pusingan U.

"Ketika membuat pusingan di lokasi kejadian, dipercayai kereta berkenaan hilang kawalan dan terbabas masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan kereta mangsa.

"Akibat pelanggaran tersebut, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di bahagian dada," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat.

"Pemandu sebuah lagi kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat di bawah Sesyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan," katanya.

Polis meminta saksi kejadian untuk tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Jong Pit Chiao di talian 016-8849163 atau tampil ke balai polis berhampiran.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!