Lelaki didenda RM7,000 perdaya pengerusi rumah kebajikan orang tua

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara selama tujuh bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan. Gambar hiasan
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara selama tujuh bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan. Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM – Seorang bekas pembantu am di sebuah majlis perbandaran di negeri ini didenda RM7,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas dua pertuduhan memperdayakan seorang pengerusi rumah kebajikan orang tua bagi mendapatkan barangan lelongan serta wang sumbangan untuk majlis Hari Raya Aidilfitri, dua tahun lepas.

M Murugan, 43, dikenakan hukuman terbabit selepas menukar pengakuan kepada bersalah, atas dua pertuduhan pilihan ketika sebutan kes di hadapan Hakim, Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Mahkamah turut memerintahkan lelaki yang masih bujang dipenjara selama tujuh bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut kedua-dua pertuduhan pilihan, tertuduh didakwa memperdayakan pengerusi rumah kebajikan dengan mendorong wanita itu untuk menyerahkan wang RM2,300 dan RM200.

Ia bagi membantu mendapatkan barangan lelongan majlis perbandaran dan meminta wang sumbangan untuk majlis hari raya.

Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu di Taman Selayang Segar, Gombak dan Jalan Raya Laut, Kuala Lumpur pada 4 dan 10 April 2022.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Pegawai Pendakwa, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, Mohd Aliff Shaharuzaman memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, peguam K Komagan yang mewakili tertuduh, merayu anak guamnya dikenakan hukuman denda yang minimum.

“Dia mengidap penyakit kencing manis yang kronik sehingga perlu mendapatkan rawatan susulan di Hospital Selayang.

"Anak guam saya kini bekerja sebagai kelindan lori dengan pendapatan RM1,500 sebulan selain tiada rekod kesalahan lampau," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!