X

Kindly register in order to view this article
!

Usah bubuh nama sedap yang tiada maksud

IBU BAPA dinasihatkan oleh para agamawan supaya jangan taasub memberi nama anak yang unik, namun pada akhirnya menyusahkan si kecil itu sendiri.
A
A

SEBAIK sahaja seorang isteri disahkan hamil, pemberian nama anak menjadi antara perkara utama yang akan difikirkan.

Secara kasarnya, ramai yang berpandangan proses boleh dilakukan sekelip mata, namun hakikatnya, ia tidak mudah. Mengapa? Ini kerana nama melambangkan identiti anak dan akan digunakan sehingga hari akhirat. Nama yang diberikan itulah yang akan diseru nanti.

Dalam hal itu, ada satu peristiwa yang ingin dikongsi penulis. Ibu bapa kepada rakan baik penulis terpaksa menukarkan nama salah seorang anak mereka selepas anak itu kerap menangis dan berpenyakit. Selepas mendapat nasihat daripada ulama, rupa-rupanya namanya membawa maksud yang buruk dan perlu ditukar. Semoga ia menjadi teladan kepada kita.

Baru-baru ini, melalui media sosial tular dengan nama 'canggih' dalam kalangan murid tahun satu di sebuah sekolah. Masakan tidak, nama anak masing-masing bukan sahaja panjang malah ada suku kata yang diterjemahkan dalam Bahasa Inggeris. Contohnya, Langit ditukarkan kepada Sky.

Bukan mahu menempelak, namun terus terang, secara teknikal, pendekatan itu menyusahkan banyak pihak termasuk anak itu sendiri. Pendek kata, janganlah terlalu ghairah menamakan anak.

Ketahuilah bahawa Islam menganjurkan setiap insan untuk memberi nama yang elok untuk keturunan kita.

Justeru, apakah panduan untuk memberi nama anak menurut pandangan Islam? Nama apa yang paling disukai ALLAH dan Rasulullah SAW?

Tarbiah awal

Membicarakan topik berkenaan, Sinar Islam mewawancara pendakwah Ustaz Ahmad Hazran Ahmad Kamal atau Imam Muda Aran.

IMAM MUDA ARAN
IMAM MUDA ARAN

Ujar beliau, kepentingan membubuh nama kepada setiap zuriat ada kaitan dengan tarbiah awal kepada seseorang.

"Apabila kita sebut perkataan yang baik, secara tidak langsung kita sebenarnya mendidik anak dengan cara dan punca didikan yang baik. Ia juga satu doa.

"Disebabkan itu, kita mesti meletakkan nama yang elok. Jangan hanya kerana bunyi nama itu sedap saja, tetapi siasat juga maksud di sebalik nama berkenaan," jelasnya ketika dihubungi Sinar Islam baru-baru ini.

Dalam pada itu, Imam Muda Aran turut menegur sikap segelintir masyarakat yang taasub memberikan nama anak dengan kalimah yang ada dalam al-Quran secara semberono tanpa meneliti maksud terlebih dahulu.

"Ada orang ketika membaca al-Quran, nampak ayat sedap seperti kalimah huthamah, terus mengambil perkataan itu untuk dijadikan sebagai nama anaknya. Hakikatnya, huthamah sebenarnya antara nama-nama neraka.

"Sesetengah orang pula ingin meletakkan nama para nabi dan rasul untuk anak-anak mereka. Malangnya, mereka meletakkan nama nabi dan rasul dalam bahasa Inggeris. Contohnya, nama Nuh jadi Noah dan Ibrahim pula ditukar kepada Abraham. Meskipun tidak salah berbuat demikian, namun sebaiknya letaklah nama dalam bahasa Arab kerana itulah keutamaannya," ujar beliau.

Begitupun, jikalau ibu bapa ingin memilih nama selain daripada bahasa Arab, ia tidak menjadi masalah selagi perkataan itu membawa maksud yang bagus.

Keistimewaan nama Abdulrahman, Ibrahim

Apakah nama yang disukai ALLAH SWT dan Rasulullah SAW? Menjawab pertanyaan itu, agamawan itu memberitahu: "Abdulrahman dan Ibrahim antara nama yang paling disukai-NYA dan kekasih-NYA itu."

Sabda baginda SAW: "Sesungguhnya nama yang paling disukai oleh ALLAH daripada nama-nama kamu ialah Abdullah dan Abdulrahman." (Riwayat Muslim)

Dalam sebuah hadis lain, Rasulullah SAW bersabda: "Aku telah dikurniakan seorang anak lelaki pada satu malam, maka aku menamakannya dengan nama bapaku (datukku), Ibrahim." (Riwayat Muslim)

JIKA kita meletakkan nama anak yang tidak sesuai, ibu bapa yang akan bertanggungjawab dan berdosa.
JIKA kita meletakkan nama anak yang tidak sesuai, ibu bapa yang akan bertanggungjawab dan berdosa.

Sudah mengetahui nama disukai ALLAH dan rasul-NYA, apa pula panduan untuk kita dalam memberikan nama si kecil? Kata Imam Muda Aran, umat Islam disarankan mengikuti penduan berdasarkan nas dalam al-Quran dan hadis-hadis Nabi Muhammad SAW.

Paling tidak pun, kata beliau, bertanyalah kepada orang alim ulama.

"Apa pun, elakkan daripada meletak nama Tuhan agama lain, nama yang tiada maksud (tidak kiralah dalam bahasa apa) dan elak bagi nama yang buruk.

"Sebolehnya, elakkan (nama) berunsurkan fitnah kepada anak sebab kalau budak itu membesar di negara lain, dia akan menjadi bahan gelak orang," ujar beliau.

Jadi panggilan syurga

Bagi mendapatkan penjelasan lanjut lagi, Sinar Islam mendapatkan pendakwah Datuk Hassan Mahmud Al-Hafiz untuk mengupas tentang topik hangat yang tidak akan ternoktah itu.

USTAZ HASSAN MAHMUD
USTAZ HASSAN MAHMUD

Agamawan itu menjelaskan, kita dituntut supaya membubuh nama yang paling cantik dan terbaik untuk zuriat masing-masing. Nama itulah yang akan dipanggil di syurga kelak.

Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya kamu semua akan dipanggil pada hari kiamat kelak dengan nama kamu dan nama bapa-bapa kamu, oleh itu perelokkanlah nama kamu." (Riwayat Abu Dawud)

Jelas beliau lagi, nama yang cantik sebenarnya bermula dengan kalimah Muhammad jika anak itu lelaki. Namun, jika melibatkan anak perempuan, lihatlah kalangan orang baik-baik sepertimana keturunan Rasulullah SAW dan para sahabat.

"Misalnya, nama Aminah, Aisyah dan Fatimah. Itulah nama yang terbaik. Pun begitu, tidak salah untuk memberikan nama yang lain, cuma paling bagus, semua yang ada kaitannya dengan sejarah Islam.

"Jika kita meletakkan nama anak yang tidak sesuai, ibu bapa yang akan bertanggungjawab dan berdosa. Contohnya, anaknya cantik, tetapi diletakkan dengan nama yang hodoh. Apabila kelak kawan-kawannya mengejek dan namanya bukan daripada nama yang dikenali seperti datang dari negara Barat dan sebagainya serta disebut dengan bunyi yang lain, maka rosaklah nama itu," kata beliau.

Seperkara lagi, Hassan Mahmud berpesan, agar kita mengelakkan nama-nama orang Yahudi, Barat dan sebagainya.

"Seandainya mampu, biarlah nama itu dipilih mengikut Islam, sesuai dan diterima oleh masyarakat Islam. Jangan terlalu panjang nama berkenaan, biarlah yang munasabah," pesan beliau.

Kepada satu soalan, agamawan itu menjelaskan: "Jika nama anak kita bermula dengan Muhammad, ini bermakna kita mengikuti sunah nabi. Jika meletakkan nama Abdul Wahab juga tiada masalah.

"Perkara salahnya jika kita meletakkan nama Razak, Rahman atau Rahim sahaja tanpa Abdul pada pangkal nama tersebut. Haram hukumnya berbuat demikian kerana itu adalah sifat-sifat ALLAH.

"Mana mungkin jika dipanggil Razak yang bermaksud pemberi rezeki itu ialah manusia?

"Sebab itu, perlu letakkan Abdul di hadapan nama Razak menjadikan maksudnya sebagai hamba kepada yang memberi rezeki. Begitu juga dengan nama Abdul Rasul, kita tidak boleh berikan nama sedemikian. Kena pastikan frasa betul digunakan."

Selain nama para nabi, rasul dan malaikat, kita juga digalakkan untuk mengambil berkat nama ulama seperti al-Syafie, Hanbali, Abu Bakar dan Umar, ujar beliau.

Panggil anak dengan nama lengkap, bukan singkatan

Memberi nama yang panjang kepada anak seakan menjadi trend sekarang. Lebih mendukacitkan, ada juga ibu bapa meletakkan nama yang pelik-pelik sehingga tergeliat lidah untuk disebut.

Bagaimanapun, pendakwah Senator Ustazah Asmak Husin menjelaskan, tiada masalah untuk berbuat demikian, namun masyarakat perlu berwaspada ketika memanggil nama anak tersebut.

USTAZAH ASMAK
USTAZAH ASMAK

"Katakan nama anak panjang sehingga empat patah perkataan, jika ingin memanggilnya secara ringkas, gunakan salah satu daripada nama anak berkenaan. Sebutlah dengan penuh. Contohnya, nama anak Nadia Sofia Karina Jamilah, mungkin boleh memanggilnya Jamilah.

"Jangan pula kita memanggilnya 'Jamm' yang tiada maksudnya. Apabila kita panggil nama anak itu penuh dan lengkap, ia sebenarnya berupaya menyuntik motivasi, ibarat kita membacakan doa kepada anak," katanya kepada Sinar Islam menerusi aplikasi WhatsApp baru-baru ini.

Pemilihan nama anak, kata Ustazah Asmak, begitu signifikan dalam Islam.

"Ia kerana, ia merupakan hak anak-anak. Jika kita memberikan nama yang tak betul buat anak, mereka boleh menuntut sebab kenapa dia dinamakan sedemikian pada hari akhirat kelak.

"Apabila seorang anak itu lahir ke dunia, ibu bapa bertanggungjawab melakukan beberapa perkara iaitu melaksanakan akikah, mencukur rambut bayi dan memberikan nama. Seeloknya, lakukan semua perkara itu pada hari ketujuh kelahiran anak jika ingin mendapatkan keberkatan," jelas beliau.

Ustazah Asmak turut menitipkan pesan agar ibu bapa mengambil kira agama, aspek perundangan Jabatan Pendaftaran Negara dan budaya masyarakat setempat ketika menamakan anak masing-masing.

"Dalam hal itu, faktor budaya penting. Misalnya, kita ingin menamakan anak dengan nama Faid, tetapi orang sekeliling mungkin payah hendak menyebutnya kerana tidak biasa dengan nama sebegitu, lalu memanggilnya Paid.

"Jika begitu, maka tidak payahlah bubuh nama berkenaan. Kalau orang sekeliling tak biasa (dengan nama berkenaan), mesti mereka akan panggil nama anak kita dengan tidak elok. Lebih baik kita letakkan satu nama yang orang boleh panggil anak kita dengan cara dan panggilan yang bagus.

"Apa pun, kita kena ingat bahawa nama itu suatu doa. Jadi, letaklah nama supaya orang mendoakan anak kita dengan sifat-sifat yang sangat bagus," nasihat beliau mengakhiri perkongsian ilmunya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus