Pembantu butik dakwa dicabul majikan warga Pakistan

 Razmi
Razmi
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang pembantu di sebuah butik pakaian di bandar raya di sini mendakwa dicabul majikannya semasa mereka dalam perjalanan keluar makan tengah hari kelmarin.

Sebelum kejadian itu, suspek yang juga seorang warga Pakistan berusia 30-an didakwa mengajak wanita tersebut keluar makan bersama pada jam 2 petang.

Menurut sumber, mangsa berusia 20-an yang tidak mengesyaki apa-apa hanya menuruti ajakan itu lalu menaiki kereta Perodua Myvi dipandu suspek.

Katanya, bagaimanapun, sebaik tiba di sebuah restoran makanan segera di Batu Buruk di sini, suspek hanya membungkus makanan sebelum membawa mangsa ke rumah sewanya di Pulau Kambing di sini.

"Ketika dalam perjalanan ke Pulau Kambing, suspek didakwa memegang dan menggosok paha mangsa.

"Sebaik tiba di rumah sewanya, suspek mengajak mangsa masuk ke dalam rumah namun ditolak oleh mangsa.

"Suspek kemudian terus membawa mangsa ke kawasan parkir di jambatan angkat sebelum bertindak meraba dan cuba melakukan perkara tidak senonoh terhadap mangsa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Sumber berkata, mangsa yang ketakutan beberapa kali menepis tangan suspek yang terus mahu melakukan perbuatan tidak bermoral terhadapnya lalu mengajaknya pulang.

Artikel Berkaitan:

Katanya, suspek yang masih agresif kemudian mengalah sebelum membawa mangsa pulang ke tempat kerja kira-kira jam 4 petang.

"Tidak berpuas hati dengan majikannya selain bimbang akan keselamatan dirinya, mangsa nekad membuat laporan polis selepas habis waktu bekerja untuk tindakan lanjut," katanya.

Susulan laporan dibuat, suspek ditahan di hadapan sebuah butik pakaian di Jalan Sultan Sulaiman, di sini kira-kira jam 10 malam semalam.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan mengenai kejadian itu.

Beliau berkata, suspek kini ditahan reman untuk membantu siasatan kes mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.