'Mimpi gigi patah petanda anak maut kemalangan'

Ahmad Jhosman menunjukkan gambar Allahyarham Ahmad Izuddin.
Ahmad Jhosman menunjukkan gambar Allahyarham Ahmad Izuddin.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang pengawal keselamatan tidak menyangka perasaan gelisah selepas bermimpi sebatang giginya patah terjawab apabila anak sulungnya maut dalam kemalangan konvoi bermotosikal di Kilometer 9.9 Lebuhraya Ketereh-Kota Bharu, di sini, pada Selasa.

Lelaki itu, Ahmad Jhosman Ab Rahman, 46, berkata, mimpi gigi bawahnya patah berlaku pada pertengahan Ramadan lalu sebelum berita kematian Ahmad Izuddin Ahmad Jhosman, 21, yang terbabit kemalangan jam 12.30 tengah malam.

“Saya bukanlah percaya kepada mimpi gigi patah tersebut kerana menyedari ajal maut di tangan Tuhan.

“Tetapi, sejak bermimpikan perkara itu, saya berasa tidak sedap hati dan kerap memeriksa keadaan isteri serta anak-anak, tak sangka pula hari ini saya kehilangan Ahmad Izuddin,” katanya sebak ketika ditemui pemberita di pekarangan Bilik Mayat, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, di sini, pada Selasa.

Menurutnya, sebelum kejadian itu, Ahmad Izuddin dilihat keluar dari rumah mereka di Kampung Teluk Kandis, Salor, di sini, dalam keadaan tergesa-gesa pada jam 8.30 malam.

Katanya, dia selepas itu mengetahui kejadian kemalangan menimpa anak sulung daripada lima beradik tersebut apabila diminta oleh menantu supaya bersiap-siap untuk dibawa ke satu tempat yang tidak diberitahu secara terperinci.

“Saya bersama isteri ketika itu sudah tidur dan bangun semula serta sudah keluar dari rumah menunggu menantu datang ambil.

“Semasa menunggu itu, datang kawan Ahmad Izuddin memberitahu bahawa anak saya terbabit dalam kemalangan jalan raya dan sudah pun meninggal dunia,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Izuddin meninggal dunia dalam kemalangan di Kota Bharu pada Selasa.
Ahmad Izuddin meninggal dunia dalam kemalangan di Kota Bharu pada Selasa.

Sejurus itu, Ahmad Jhosman dan isteri, Hazana Ismail, 45, bergegas ke Hospital USM bagi menunggu proses mayat dibedah siasat.

Ahmad Jhosman menyifatkan Ahmad Izuddin sebagai anak yang bertanggungjawab dan sentiasa menjaga adik-adiknya.

“Hari ini baru saya tertengok status WhatApps dimuat naik oleh Ahmad Izuddin memberitahu akan menunggang motosikal secara berkumpulan ke kedai makan nasi berlauk di Ketereh.

“Dia anak yang baik dan baru sahaja menyambung pengajian di peringkat Diploma Automotif di GiatMara Rantau Panjang bermula awal tahun ini,” katanya.

Ahmad Jhosman memberitahu, jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Teluk Kandis, Salor selepas selesai dibedah siasat.

Selain Ahmad Izuddin, dua lagi yang terkorban dalam kemalangan itu ialah Azman Uji, 21, (pekerja kilang Rasa Pop milik Khairul Aming) dan Muhammad Faiz Mohd Nasarudin,19.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28