Nahas helikopter TLDM: KPT bantu anak-anak mangsa

Zambry melawat isteri dan anak kepada Allahyarham Mohd Shahrizan yang terlibat dalam nahas helikopter di Pangkalan TLDM Lumut.
Zambry melawat isteri dan anak kepada Allahyarham Mohd Shahrizan yang terlibat dalam nahas helikopter di Pangkalan TLDM Lumut.
A
A
A

LUMUT - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberi beberapa insentif kepada anak-anak mangsa nahas dua helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini pada Selasa.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, perkara itu diputuskan bagi meringankan beban keluarga wira-wirawati yang terlibat.

Menurut beliau, pihaknya akan membiayai sepenuhnya yuran pengajian kepada Nurul Shahfiqah, anak sulung kepada Pegawai Waran II TMK Mohd Shahrizan Mohd Termizi yang menuntut di Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

"Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah bersetuju untuk melaksanakan cadangan ini bagi memastikan anak-anak keluarga mangsa terlibat dijaga dengan baik.

"Kita tidak mahu anak-anak ini menghadapi masalah dalam pembelajaran atau melanjutkan pelajaran mereka," katanya kepada pemberita selepas melawat keluarga Mohd Shahrizan di Taman Bunga Tanjung dekat Lekir pada Rabu.

Tambah Zambry, pihaknya akan menyalurkan sumbangan berjumlah 1,000 kepada 21 anak mangsa yang masih bersekolah dalam bentuk akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i).

"Setakat ini, data yang kita kumpulkan menunjukkan ada 21 anak mangsa dan kita akan kemas kini bilangan sebenar anak mangsa yang terlibat.

"Tabungan seperti itu akan memudahkan mereka untuk menerima bantuan lain pada masa depan. Saya percaya kerajaan termasuk Kementerian Pertahanan mungkin ada perancangan untuk anak mangsa, jadi dengan adanya tabung ini, ia akan memudahkan bantuan disumbangkan termasuk oleh agensi lain," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam kejadian pada jam 9.32 pagi, Mohd Shahrizan adalah antara tiga kru pesawat Fennec yang terbabit nahas dengan sebuah lagi aset TLDM iaitu HOM-AW139 yang dinaiki tujuh anggota.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!