Nahas helikopter TLDM: Kerajaan salur RM10,000 kepada keluarga mangsa

Kenyataan media Mohamed Khaled di Facebooknya pada Rabu.
Kenyataan media Mohamed Khaled di Facebooknya pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam nahas helikopter di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak pada Selasa bagi meringankan beban mereka.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tabung khas juga ditubuhkan bagi memudahkan orang ramai untuk menghulurkan sumbangan kewangan kepada keluarga mangsa terbabit.

“Segala kos perjalanan terakhir yang meliputi penerbangan ihsan dan pengurusan jenazah ditanggung sepenuhnya oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Kerajaan turut menzahirkan rasa simpati atas kehilangan 10 wira negara yang mencurah bakti sehingga ke akhir hayat mereka,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Tambah Mohamed Khaled, Lembaga Siasatan diarah untuk menyerahkan laporan awal dalam tempoh 14 hari bekerja, manakala laporan penuh perlu diberikan dalam tempoh 30 hari bekerja.

TLDM pada Selasa mengesahkan 10 anggotanya meninggal dunia dalam kejadian pada 9.32 pagi yang melibatkan tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan tiga lagi kru Fennec TLDM.

Sebelum ini, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri melaporkan, mangsa terdiri daripada tujuh lelaki dan tiga wanita merupakan anggota dari Pangkalan TLDM Lumut dan Kota Kinabalu.

Menurutnya, semasa kejadian semua kru terlibat mengikuti sesi latihan sempena Perbarisan Hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut melibatkan pesawat HOM (M503-3) dan pesawat Fennec.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!