1,588 jemaah haji terima 'duit poket' RM750 seorang - MB

Wan Rosdy bersama sebahagian jemaah haji selepas Majlis Perasmian Kursus Perdana Haji dan Penyampaian Barakah Haji Pahang 2024 di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, di Kuantan pada Ahad.
Wan Rosdy bersama sebahagian jemaah haji selepas Majlis Perasmian Kursus Perdana Haji dan Penyampaian Barakah Haji Pahang 2024 di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, di Kuantan pada Ahad.
A
A
A

KUANTAN - Seramai 1,588 jemaah haji menerima 'duit poket' sebanyak RM750 seorang daripada kerajaan Pahang melalui Barakah Haji Pahang sebagai bantuan untuk melaksanakan rukun Islam kelima itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bantuan itu membabitkan peruntukan sebanyak RM1.191 juta bagi meraikan jemaah haji yang akan berangkat ke Makkah pada Mei depan.

"Ini adalah pemberian kali kedua.

"Tahun lalu, kita bagi (bantuan) RM500 tapi tahun ini kita (naikkan) RM750 seorang.

"Insya-ALLAH, kalau kedudukan kewangan negeri (semakin) baik, mungkin kita akan mengkaji semula (pemberian) dan (membuat) penambahan, tetapi ia bukan masa terdekat," katanya.

Wan Rosdy menyampaikan bantuan RM750 kepada jemaah haji Pahang pada Majlis Perasmian Kursus Perdana Haji dan Penyampaian Barakah Haji Pahang 2024 di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, di Kuantan pada Ahad.
Wan Rosdy menyampaikan bantuan RM750 kepada jemaah haji Pahang pada Majlis Perasmian Kursus Perdana Haji dan Penyampaian Barakah Haji Pahang 2024 di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, di Kuantan pada Ahad.

Beliau berkata demikian pada ketika ditemui pemberita Majlis Perasmian Kursus Perdana Haji dan Penyampaian Barakah Haji Pahang 2024 di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, di sini pada Ahad.

Hadir sama, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Artikel Berkaitan:

Wan Rosdy memaklumkan, kerajaan Pahang juga menyediakan pek makanan Juadah Makmur Jemaah Haji kepada setiap jemaah haji sebagai bekalan dan pengubat rindu juadah Malaysia apabila berada di Tanah Suci nanti.

Jelasnya, terdapat empat pek makanan ’ready to eat’ yang kita bekalkan iaitu dua pek Nasi Minyak Ayam Masak Merah dan dua pek Nasi Berlauk Daging Masak Opor.

Wan Rosdy menambah, Juadah Makmur Jemaah Haji pada tahun ini membabitkan peruntukan sebanyak RM112,000.

"Kita akan fikirkan lagi bentuk bantuan lain. Hari ini empat pek makanan, mungkin kita akan tambah lima atau enam pek pada tahun depan.

"Mereka (jemaah) berada di sana (Makkah dan Madinah) lebih daripada sebulan, dan ada masanya teringat makanan Malaysia.

"Jadi, pek makanan ini sedikit sebanuak dapat mengubati rindu mereka," katanya.

Dalam pada itu, Wan Rosdy memberitahu, sekiranya kuota haji dapat ditingkatkan pada masa akan datang, beliau berharap kuota jemaah haji di negeri ini dapat ditingkatkan.

“Kita berusaha untuk menambahkan kuota jemaah haji dari masa ke masa, namun terpulang kepada kerajaan Arab Saudi kerana yang memohon terlalu ramai.

“Saya yakin dengan hubungan yang baik antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan Arab Saudi, kuota dapat ditingkatkan.

"Jika berlaku tambahan, kita minta kuota bagi negeri Pahang sebanyak 2,000 orang bertambah kepada 2,500 orang sekurang-kurangnya,” jelas beliau lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!