Buat aduan kepada KPKT jika pemaju degil baiki kerosakan

Laporan muka depan Sinar Ahad. (Gambar kecil: Fifi Natasya)
Laporan muka depan Sinar Ahad. (Gambar kecil: Fifi Natasya)
A
A
A

SHAH ALAM - Pembeli rumah yang tidak berpuas hati dengan sikap pemaju yang ‘lepas tangan’ terhadap isu kerosakan kediaman boleh membuat aduan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Peguam hartanah yang juga rakan kongsi di Tan Norizan & Associates, Fifi Natasya Jamaluddin berkata, perkara itu boleh dilakukan kerana pihak KPKT ada memegang sejumlah wang jaminan daripada pemaju.

“Rumah yang dibeli mempunyai 24 bulan jaminan, pihak KPKT sememangnya memegang sejumlah wang yang didepositkan pemaju perumahan.

“Jadi perkara pertama selepas dapat kunci, periksalah dahulu setiap kecacatan dan kerosakan yang ada di rumah serta binaan yang tidak memuaskan dilakukan pemaju,” katanya kepada Sinar Ahad.Ujar Fifi Natasya, tempoh dua tahun diberikan pemaju perlu digunakan sehabis baik untuk pembeli membuat pemeriksaan pada rumah.

Menurutnya, selain kerosakan pembeli perlu membuat semakan spesifikasi rumah yang diterima sama yang terkandung dalam perjanjian jual beli seperti ukuran dan keluasan.

“Seterusnya barangan atau bekalan yang disediakan juga perlu disemak sama ada berfungsi dengan baik ataupun tidak.

“Bila sudah dikenal pasti kerosakan, labelkan dengan pelekat berwarna untuk perhatian kontraktor atau pihak pemaju bagi memudahkan kerja pembaikan,” ujarnya.

Kata beliau, pembeli dinasihatkan membuat senarai kerosakan untuk dihantar kepada pemaju dan menyediakan salinan bagi simpanan sendiri serta seelok-eloknya ia perlu diselesaikan sebelum pindah masuk ke rumah berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Jelas Fifi Natasya, pemilik boleh melakukan aduan apa sahaja kerosakan atau kekurangan yang ada baik di dalam atau di luar rumah dalam tempoh itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!