X

Kindly register in order to view this article
!

Adhif Syan, Ahmad Redzuan digantung tugas serta-merta: Syed Saddiq

Syed Saddiq
A
A

SHAH ALAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Adhif Shan Abdullah digantung serta-merta daripada jawatannya sebagai Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Selangor, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ketua Armada Nasional, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, tindakan sama turut diambil ke atas Penolong Setiausaha Armada Nasional, Ahmad Redzuan Mohamad Shafi.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Majlis Ketua Armada Nasional.

“Jawatan Ahmad Redzuan akan dipangku Exco Armada Nasional, Danial Syahiran Ho Imran Ho manakala jawatan Adhif Syan akan dipangku Timbalan Ketua Armada Selangor, Anas Akashah Nazri.

“Penggantungan ini berkuatkuasa serta-merta sehingga selesai siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap kes melibatkan mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan yang dikeluarkan Syed Saddiq.
Kenyataan yang dikeluarkan Syed Saddiq.

Katanya, Armada berharap supaya siasatan dapat dijalankan dengan lancar dan adil mengikut lunas undang-undang negara.

“Pihak Armada merakamkan ribuan terima kasih atas khidmat dan bakti mereka sepanjang memegang jawatan sebagai pimpinan Armada Malaysia,” katanya.

Isnin lalu, polis menahan 17 individu termasuk Adhif Syan dan empat pegawai khas ahli politik dalam satu operasi di sebuah kondominium di Jalan Puchong.

Hasil siasatan lanjut, polis turut menemui serbuk dipercayai dadah dan rokok dipercayai berisi ganja dan saringan awal ujian air kencing mendapati 16 daripada mereka positif dadah.

ARTIKEL BERKAITAN Muhyiddin sahkan ADUN Dengkil ditahan polis


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus