KKM cadang pindaan Akta 50 berkenaan program Parallel Pathway disegerakan

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. Foto: fail Bernama
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. Foto: fail Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan (KKM) akan mencadangkan kepada Jemaah Menteri untuk menyegerakan pindaan Akta 50 mengenai program Parallel Pathway bagi membolehkan pelatih yang menyelesaikan program itu dengan jayanya, mendaftar sebagai pakar di bawah akta berkenaan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, langkah itu adalah bagi menyelesaikan masalah kekurangan pakar perubatan yang berkhidmat di fasiliti kesihatan kerajaan di negara ini.

"Dengan ini, tertakluk kepada keputusan lanjut Jemaah Menteri bagi cadangan pindaan Akta 50. KKM akan mengangkat cadangan kepada Jemaah Menteri untuk menyegerakan pindaan Akta 50 selewat-lewatnya pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-15 Jun ini, bagi penguatkuasaan secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata, KKM berharap semua pihak memberikan kerjasama penuh demi kepentingan seluruh pihak berkepentingan, terutamanya pelatih program Parallel Pathway kerana rakyat bergantung kepada perkhidmatan mereka.

"KKM memberi jaminan terhadap kecekapan dan keberkesanan penyampaian sektor kesihatan awam kepada masyarakat dapat terus ditingkatkan di bawah gagasan Malaysia Madani,” katanya.

Dzulkefly berkata, sementara menunggu keputusan Jemaah Menteri mengenai akta itu, KKM akan memperkasakan latihan kepakaran melalui program sarjana di negara ini agar program pembangunan kapasiti tempatan kian unggul.

Dalam kenyataan sama, beliau berkata, persetujuan bersama telah dicapai dalam satu perbincangan dengan Duta Besar Ireland ke Malaysia Orla Tunney dan Timbalan Pesuruhjaya Tinggi United Kingdom ke Malaysia David Wallace agar kerjasama yang sedia terjalin antara KKM serta institusi terlibat diteruskan dan diperkukuh. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Artikel Berkaitan: