Wanita warga asing maut ditikam di Skudai

Mangsa berusia 41 tahun disyaki ditikam dengan objek tajam. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Balveer Singh)
Mangsa berusia 41 tahun disyaki ditikam dengan objek tajam. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Balveer Singh)
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang wanita warga asing maut, dipercayai ditikam dengan objek tajam di sebuah rumah di kawasan Taman Ungku Tun Aminah, dekat Skudai awal pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam berkaitan kejadian itu lebih kurang jam 4.35 pagi.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku lebih kurang jam 2.30 pagi, mangsa berusia 41 tahun disyaki ditikam dengan objek tajam.

Susulan itu, tidak sampai 24 jam kemudian, beliau berkata, pihaknya menahan seorang perempuan warga asing berumur 41 tahun dan seorang lelaki warga asing berusia 24 tahun.

"Lebih kurang jam 7.47 malam tadi, wanita terbabit ditahan di rumahnya manakala lelaki tersebut yang juga adik kepada mangsa ditahan di tempat pembuangan sampah di kawasan Taman Ungku Tun Aminah.

"Turut dirampas sebilah pisau di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Balveer Singh berkata, punca kejadian masih dalam siasatan dan kedua-kedua suspek akan dipohon reman hari ini.

Beliau memohon agar orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu supaya menghubungi pegawai penyiasat ASP Wong Chee Hoong di talian 016-6943836.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau dipenjara minimum 30 tahun sehingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah disebat tidak kurang daripada 12 sebatan. - Bernama