Pengurusan tertinggi UM perlu bertanggungjawab - KMUM

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) kekal dengan pendirian tegas mengecam kenyataan seorang pensyarah warganegara Amerika Syarikat, Bruce Gilley dalam satu program di Universiti Malaya (UM).

KMUM dalam satu kenyataan memaklumkan, kenyataan pensyarah yang dipercayai menyifatkan Malaysia sebagai pendokong Holocaust adalah melampau dan menimbulkan kemarahan banyak pihak.

"Kebebasan berakademik tidak salah, akan tetapi menjadi satu kesalahan apabila syarahan tersebut dijadikan ruang untuk menyebarkan dakyah Zionis," kata kenyataan itu pada Khamis.

Menurut kenyataan itu, pengurusan tertinggi UM perlu bertanggungjawab dalam menjelaskan isu ini dengan segera.

"KMUM yakin dengan langkah tersebut mampu untuk meredakan serta menjawab persoalan mengenai isu ini," katanya.

Dalam pada itu, KMUM turut menuntut pihak pentadbiran tertinggi UM agar melibatkan pihaknya dalam apa-apa program yang dianjurkan di semua peringkat Pusat Tanggungjawab (PTJ) di UM serta setiap program perlu mendapat kelulusan dari Presiden KMUM atau sekurang-kurangnya jawatankuasa tertinggi kabinet KMUM.

"Ini bagi memastikan perkara yang mengganggu gugat sensitiviti serta mengundang kemarahan rakyat Malaysia tidak berulang lagi.

"Selain itu, KMUM sekali lagi ingin menyatakan pendirian kami dengan menyokong sebarang agenda dalam memperjuangkan isu Palestin sama ada di dalam mahupun luar negara," tambah kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!