[VIDEO] Muhammad Faisol disemadikan bersebelahan pusara ibu

A
A
A

SIK - Jenazah salah seorang mangsa nahas helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pegawai Waran II, Muhammad Faisol Tamadun, 36, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sik Dalam kira-kira jam 10.10 malam Rabu.

Proses pengebumian dilaksanakan mengikut istiadat pengebumian TLDM dan jenazah Muhammad Faisol disemadikan bersebelahan pusara ibunya, Fatimah Abdullah yang meninggal dunia pada Ogos 2023.

Tanah perkuburan tersebut turut menempatkan kubur bapanya, Tamadun Othman yang juga meninggal dunia tahun lalu.

Jenazah Muhammad Faisol selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sik Dalam kira-kira jam 10.10 malam.
Jenazah Muhammad Faisol selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sik Dalam kira-kira jam 10.10 malam.

Sebelum itu, jenazah tiba di rumah kakak sulungnya, Noryani Tamadun, 50, di Kampung Tanjung dekat sini kira-kira jam 8.55 malam sebelum dibawa ke Masjid Al-Muhtadin untuk solat jenazah pada jam lebih kurang 9.20 malam.

Suasana sayu menyelubungi pengebumian yang dihadiri lebih 1,000 jemaah termasuk ahli keluarga dan kenalan bagi memberi penghormatan terakhir.

Artikel Berkaitan:

Ketika ditemui, Noryani menzahirkan rasa kesyukuran kerana urusan membawa pulang dan pengebumian berjalan lancar.


Jenazah Muhammad Faisol tib di rumah kakak sulungnya di Kampung Tanjung dekat sini kira-kira jam 8.55 malam.
Jenazah Muhammad Faisol tib di rumah kakak sulungnya di Kampung Tanjung dekat sini kira-kira jam 8.55 malam.

"Ramai yang hadir sejak semalam sehingga jam 3 pagi.

"Hari ini pun sama, pihak tentera juga berada di sini sejak jam 4 petang tadi mengadakan raptai sebelum ketibaan jenazah. Terima kasih kepada semua yang membantu memudahkan urusan pengebumian," katanya ketika ditemui di rumahnya pada Rabu.

Terdahulu, jenazah Muhammad Faisol dan tujuh lagi mangsa beragama Islam dibawa keluar dari Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak bermula 4.35 petang selepas selesai proses bedah siasat.

Semua lapan jenazah pegawai dan anggota TLDM disembahyangkan dan diberi penghormatan terakhir mengikut istiadat rasmi di Kem 23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Ipoh kira-kira jam 6 petang yang turut dihadiri ahli keluarga masing-masing dan barisan pegawai tertinggi angkatan tentera.

Suasana sayu menyelubungi pengebumian yang dihadiri lebih 1,000 jemaah termasuk ahli keluarga dan kenalan.
Suasana sayu menyelubungi pengebumian yang dihadiri lebih 1,000 jemaah termasuk ahli keluarga dan kenalan.

Sebelum ini, media melaporkan, seramai 10 pegawai dan anggota terkorban dalam nahas dua buah helikopter yang terhempas di Pangkalan TLDM, Lumut, pada Selasa.

Kedua-dua helikopter yang bertembung di udara dan terhempas di situ dilaporkan sedang menjalani Latihan raptai bersempena lintas hormat sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 yang dijadualkan berlangsung pada 3 hingga 5 Mei ini.

Berdasarkan laporan, dua helikopter yang terdiri model HOM dan Fennec telah berlepas dari Padang Sitiawan, bagaimanapun, berlaku pelanggaran di udara sebelum masing-masing terhempas di tangga Stadium Pangkalan TLDM dan berdekatan kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!