Maut dirempuh Toyota Harrier ketika berteduh

Kenderaan Toyota Harrier yang hilang kawalan merempuh mangsa yang sedang berteduh di sebuah pondok di tepi jalan Kilometer 20 Jalan Pan Borneo, Papar.
Kenderaan Toyota Harrier yang hilang kawalan merempuh mangsa yang sedang berteduh di sebuah pondok di tepi jalan Kilometer 20 Jalan Pan Borneo, Papar.
A
A
A

PAPAR - Seorang penunggang motosikal yang sedang berteduh di sebuah pondok di tepi jalan maut selepas dirempuh oleh kenderaan Utiliti Sukan (SUV) jenis Toyota Harrier di Kilometer 20, Jalan Pan Borneo di sini pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira 3.30 petang, mangsa lelaki berusia 48 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah pada bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Papar, Superintenden Kamaruddin Ambo Sakka berkata, siasatan awal mendapati pemandu SUV dalam perjalanan dari arah Kota Kinabalu menuju ke Beaufort melalui Jalan Pan Borneo.

"Ketika kejadian, keadaan hujan lebat dan kenderaan tersebut telah hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan di sebelah kiri lalu terlanggar mangsa yang sedang berteduh di sebuah pondok menjual barangan runcit.

"Kenderaan tersebut juga telah melanggar motosikal mangsa dan masuk ke dalam semak. Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan akibat kecederaan parah di seluruh bahagian badan dan kaki," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Katanya lagi, pemandu kenderaan SUV dan penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan: