Bedah siasat 10 mangsa helikopter TLDM terhempas selesai

Kesemua mangsa tragedi helikopter terhempas akan diberi penghormatan terakhir mengikut istiadat rasmi TLDM di Kem 23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) sebaik selesai proses bedah siasat.
Kesemua mangsa tragedi helikopter terhempas akan diberi penghormatan terakhir mengikut istiadat rasmi TLDM di Kem 23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) sebaik selesai proses bedah siasat.
A
A
A

SHAH ALAM - Proses bedah siasat ke atas 10 anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mangsa insiden helikopter terhempas yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, Perak telah selesai pada jam 2.20 petang, Rabu.

Menurut TLDM, jenazah mangsa beragama Islam akan dibawa ke Kem Batalion Ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja, Ipoh untuk solat jenazah.

“Jenazah mendiang Leftenan T Sivasutan pula dibawa pulang ke kediaman keluarga di Sitiawan, Perak sebelum disemadikan pada esok, 25 April 2024.

“Manakala, jenazah mendiang Laskar Kanan JJM Joanna Felicia anak Rohna akan dibawa pulang ke Serian, Sarawak untuk disemadikan menggunakan pesawat C130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Pihak pengurusan tertinggi TLDM yang dilantik telah menghubungi waris mangsa melalui unit masing-masing tentang kejadian ini,” kata agensi itu dalam satu kenyataan.

Pada Selasa, dua helikopter milik TLDM terhempas selepas bergesel di udara di Pangkalan TLDM, Lumut, Perak.

Kejadian jam 9.32 pagi itu berlaku ketika sesi raptai untuk kali ketiga sempena Sambutan Hari TLDM ke-90 melibatkan Helikopter Operasi Maritim dan helikopter Fennec TLDM.

Kedua-dua helikopter terbabit dilaporkan berlepas dari padang Sitiawan pada jam 9.03 pagi sebelum bertembung di udara.

Artikel Berkaitan:

Pertembungan berkenaan menyebabkan kedua-dua helikopter tersebut hilang kawalan sebelum terhempas di Stadium TLDM Lumut dan kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut.

Ujar TLDM, pihaknya akan terus memberi sokongan dari segi bantuan pengurusan jenazah dan sebarang keperluan daripada pihak waris sebaik mungkin.

“Penghormatan terakhir buat semua wira yang terkorban itu akan dilaksanakan mengikut tradisi tentera laut di setiap lokasi pengebumian yang dipersetujui waris,” katanya.

Lokasi pengebumian seperti berikut:

1. Allahyarham Lt Kdr Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin (Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, KL-Karak, Kuala Lumpur)

2. Allahyarham Lt Kdr Amirulfaris Mohamad Marzukhi (Tanah Perkuburan Islam Senawang, Negeri Sembilan)

3. Allahyarham Kdr Muhammad Firdaus Ramli (Tanah Perkuburan Masjid Jamek Sungai Nibong, Bayan Lepas, Pulau Pinang)

4. Allahyarham Kdr Muhamad Amir Mohamad (Tanah Perkuburan Islam Felcra Bukit Kepong, Johor)

5. Mendiang Lt T Sivasutan (Sitiawan, Perak)

6. Allahyarham PW II TMK (AQM) Mohd Shahrizan Mohd Termizi (Tanah Perkuburan Islam Batu 10, Lekir, Perak)

7. Allahyarham PW II TLR (AQM) Muhammad Faisol Tamadun (Tanah Perkuburan Masjid AlMuhtadin, Sik Dalam, Kedah)

8. Allahyarham PW II TNL Norfarahimi Mohd Saedy (Tanah Perkuburan Islam Kampung Ulu Nor, Rantau Panjang Selama, Perak)

9. Allahyarham BM TNL Nor Rahiza Anuar (Tanah Perkuburan Masjid Haji Nyak Gam Kampung Ruat, Yan, Kedah)

10. Mendiang LK JJM Joanna Felicia anak Rohna (Serian, Sarawak)

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!