Ahli perniagaan didakwa guna gelaran Datuk Seri palsu

Seorang ahli perniagaan produk kesihatan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menggunakan gelaran Datuk Seri dan barangan Darjah Kebesaran dari Pahang yang disahkan palsu.
Seorang ahli perniagaan produk kesihatan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menggunakan gelaran Datuk Seri dan barangan Darjah Kebesaran dari Pahang yang disahkan palsu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, atas satu pertuduhan menggunakan gelaran Datuk Seri palsu dari Pahang, dua tahun lalu.

Pengusaha produk kesihatan, Hazimi Abd Hamid, 54, membuat pengakuan itu, selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Azrul Darus.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa mengeluarkan surat bertajuk 'Letter Of Intent For Research Collabaration On A Project On Ketum Product Development' kepada seorang lelaki berusia 44 tahun.

Surat itu bagi tujuan perniagaan dengan menggunakan gelaran Datuk Seri iaitu sebagai penerima Anugerah SSAP daripada Sultan Pahang dan didapati memiliki barangan Darjah Kebesaran seperti Surat Watikah Pelantikan, Kalung Gelaran Datuk Seri SSAP, Kad Pengesahan diri sebagai Datuk Seri serta peralatan lain daripada negeri sama, yang disahkan palsu.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah kondominium di Mont Kiara di sini pada 1 April 2022.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 3(1)(a) Enakmen 18, Enakmen Lambang, Gelaran atau Anugerah Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 3(3) enakmen yang sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda antara RM250,000 hingga RM500,000 atau dipenjarakan antara satu hingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amir Hannif Ahijman mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM80,000 dengan seorang penjamin.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, peguam Hasanal Rezua Merican yang mewakili tertuduh, merayu jumlah itu dikurangkan kerana perlu menanggung empat anak.

"Dalam kes ini, tiada mangsa (kerugian) terlibat, selain anak guam tiada risiko untuk melarikan diri," katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Azrul membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Februari depan untuk sebutan semula kes.