X

Kindly register in order to view this article
!

Liga-M masih di takuk lama

Hanya pasukan dalam kategori A Liga Super seperti Johor Darul Ta’zim (JDT), Kedah, Pahang, Perak, Terengganu dan Selangor mempunyai penyokong yang akan ke stadium dan mengikuti perkembangan pasukan.
A
A

LIGA Malaysia (Liga-M) yang akan membuka tirainya bulan depan dijangka terus hambar seperti musim-musim terdahulu ekoran tiada daya tarikan yang dapat memastikan para penyokong hadir ke stadium menyokong pasukan mereka.

Legenda bola sepak negara, Khalid Ali berkata, tahap liga di negara ini tidak berada pada tahap memuaskan yang boleh membuatkan penyokong memenuhi stadium setiap kali perlawanan berlangsung.

Menurutnya, kualiti Liga-M masih di takuk lama selain masalah yang membelenggu beberapa pasukan terutamanya isu gaji yang menyebabkan penyokong semakin kurang berminat untuk mengikuti saingan Liga-M.

“Bagi saya, Liga-M masih tidak berkualiti. Itu realitinya. Mungkin pasukan dalam kategori A Liga Super seperti Johor Darul Ta’zim (JDT), Kedah, Pahang, Perak, Terengganu dan Selangor mempunyai penyokong yang akan ke stadium dan mengikuti perkembangan pasukan.

“Namun, bagaimana pula dengan enam lagi pasukan Liga Super dan 12 pasukan Liga Premier? Skripnya tetap sama seperti musim terdahulu dengan perlawanan yang berlangsung dalam stadium yang kosong,” katanya kepada Sinar Harian.

Suasana stadium kosong tanpa penonton dijangka berulang pada saingan Liga-M tahun ini.
Suasana stadium kosong tanpa penonton dijangka berulang pada saingan Liga-M tahun ini.

Khalid memberitahu, beberapa faktor bakal menyumbang kepada situasi hambar Liga-M musim ini termasuk harga tiket mahal yang secara tidak langsung akan membebankan penyokong.

“Harga tiket mahal menyumbang kepada kehadiran penyokong ke stadium dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini. Sebagai contoh, harga sekeping tiket RM20 sebenarnya agak mahal kerana sekurang-kurangnya dua perlawanan berlangsung dalam sebulan.

“Penonton yang datang ke stadium tak semuanya berpendapatan tinggi dan mereka berkira-kira untuk membeli tiket walaupun untuk satu perlawanan. Ada rungutan yang kita dengar, perlawanan yang disaksikan tidak berbaloi dengan harga tiket yang dibeli.

“Saya juga melihat kualiti pemain import dalam liga ini tidak memberangsangkan dengan pasukan mengambil import yang tidak popular dan kurang memberikan impak kepada pasukan,” ujarnya.

Kualiti saingan Liga-M dikatakan belum mencapai tahap yang boleh dibanggakan.
Kualiti saingan Liga-M dikatakan belum mencapai tahap yang boleh dibanggakan.

Justeru, Khalid menggesa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) meneliti faktor-faktor tersebut dan dalam masa sama, menilai langkah-langkah penambahbaikan agar sukan bola sepak di negara ini kembali mendapat tempat di hati penyokong tempatan.

“Untuk pemain import, saya rasa faktor kekurangan dana dan gaji yang diminta menyebabkan sesebuah pasukan itu gagal mendapatkan pemain berkualiti. Jadi pada pendapat saya, MFL dan FAM perlu mencari solusi terbaik mengecilkan jumlah import untuk sesebuah pasukan selain menetapkan tangga gaji yang munasabah.

“Bagi harga tiket pula, setiap persatuan bola sepak perlu memikirkan harga yang lebih berpatutan supaya penyokong berkeupayaan membeli tiket. Lebih baik harga berpatutan dan penonton datang ramai ke stadium daripada tiket mahal, penonton langsung tak datang ke stadium,” katanya.