Polis giat kesan tiga lelaki bakar anak kucing

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis sedang mengesan tiga lelaki tempatan kerana disyaki membakar seekor anak kucing di kawasan tempat letak motosikal Flat Sri Kenari, Sungai Ramal Baru, Kajang, dekat sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, perbuatan berkenaan dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi berkenaan.

Mohd Zaid berkata, pada 10.51 pagi tadi pengadu seorang wanita berusia 63 tahun telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu dan semakan pihak polis terhadap rakaman CCTV mendapati kejadian berlaku kira-kira 1 tengah hari semalam.

"Menerusi rakaman berkenaan dua daripada tiga lelaki yang sedang melepak di tempat letak motosikal telah menyimbah bahan bakar ke badan anak kucing tersebut sebelum menyalakan api, ketiga-tiga mereka kemudian hanya melihat anak kucing itu berlari dalam keadaan badan terbakar," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd Zaid, seorang penduduk di flat berkenaan kemudian terlihat anak kucing itu yang berlari dalam keadaan terbakar dan kemudian mencurahkan air sebelum memberitahu kepada pengadu.

"Pengadu kemudian mencari anak kucing itu di sekitar kawasan flat dan menjumpainya dalam keadaan lemah dan segera menghantarnya ke sebuah klinik haiwan swasta di Ampang dan kini dirawat akibat melecur tahap dua," katanya.

Beliau berkata, pihak polis telah mengenal pasti tiga lelaki berkenaan dan sedang giat mengesan mereka yang terlibat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat kepada binatang dan sekiranya disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara hingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!