X

Kindly register in order to view this article
!

Tulisan jawi: Mujahid jumpa Dong Zong, Jiao Zong

Dr Mujahid (tengah) bersama para wakil Dong Zong diketuai oleh Pengerusinya Tan Tai Kim (empat dari kanan) pada sidang media selepas mengadakan pertemuan bagi membincangkan isu tulisan jawi. - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Pertubuhan pendidikan Cina, Dong Zong dan Jiao Zong (Dong Jiao Zong) hari ini bersetuju pelaksanaan pembelajaran tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) bukan bertujuan untuk mengislamkan mana-mana pelajar bukan Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata perkara itu disepakati semasa pertemuan beliau bersama wakil Dong Jiao Zong serta 11 pertubuhan berkaitan pendidikan Cina dan Tamil di pejabatnya di sini hari ini.

Selain mengakui pembelajaran Jawi tidak bermotifkan Islamisasi kepada pelajar bukan Islam, katanya pertubuhan itu juga menerima Jawi sebagai sebahagian daripada warisan budaya negara yang perlu dihormati semua pihak sebagaimana kaligrafi Cina, tulisan Tamil dan etnik lain di negara ini.

"Kami juga bersetuju bahawa tidak timbul isu Dong Jiao Zong menentang pengajaran dan pembelajaran Jawi dan Dong Jiao Zong juga bukan pertubuhan rasis.

"Isu yang dibangkitkan adalah kaedah perlaksanaan pembelajaran yang memerlukan perbincangan secara konstruktif oleh semua pihak," katanya ketika membacakan kenyataan bersama pada sidang media sejurus pertemuan itu.

Antara yang hadir dalam pertemuan yang berlangsung satu jam setengah itu ialah Pengerusi Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) Tan Tai Kim; Pengerusi Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) Datuk Ong Chiow Chuen; Penolong Setiausaha Kehormat Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong) Yong Yew Wei dan Pertubuhan Masyarakat Berasal Dari India Sedunia Malaysia (GOPIO) A. Ravendiran Arjunan.

Mujahid berkata kesemua mereka juga sepakat bahawa agenda rasis yang bakal meruntuhkan keharmonian masyarakat berbagai kaum dan bangsa perlu ditentang bersama secara kolektif supaya tidak ada budaya kebencian sesama rakyat Malaysia.

Beliau berkata semua pihak juga bersepakat tentang perlunya bersama-sama meredakan ketegangan dalam isu yang menyinggung sensitiviti mana-mana pihak melalui pendekatan penuh berhikmah dan bijaksana.

Mujahid berkata perkara itu amat penting untuk dilakukan agar pihak yang selama ini menangguk di air keruh tidak berpeluang mengeksploitasikan keadaan untuk agenda sempit masing-masing.

Sementara itu, Tan berkata perjumpaan itu merupakan titik pertemuan yang amat penting untuk memahami padangan dan pendirian masing-masing berhubung perkara tersebut serta isu-isu lain yang menjadi kebimbangan masyarakat.

Selain tulisan Jawi, katanya mereka juga bertukar pandangan tentang isu-isu keagamaan dan perkauman yang kerap berlaku kebelakangan ini agar perkara membimbangkan itu dapat ditangani secara bersama.

"Dong Zong bersifat terbuka dan menghormati kepelbagaian dan sedia berdialog dan berinteraksi dengan pihak yang berkenaan untuk menyelesaikan sebarang salah faham demi keharmonian dan perpaduan negara," katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus