Minuman keras dalam senarai bebas cukai: Ahmad Faizal

No Image Caption
A
A
A

IPOH - Minuman keras termasuk barangan yang disenarai sebagai bebas cukai akan dijual di Pulau Pangkor.

Perkara itu diakui Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang menjelaskan bahawa senarai barangan bebas cukai termasuk minuman keras dan rokok merupakan dasar kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, bagaimanapun kaedah penjualan minuman keras itu belum ditentukan memandangkan terdapat perkara lain yang menjadi keutamaan dalam pelaksanaan Pulau Bebas Cukai (PBC) Pangkor.

"Daripada mula berbincang dengan Kementerian Kewangan, saya tidak pernah minta rokok dan arak dikeluarkan daripada senarai barangan bebas cukai.

"Cuma kaedahnya saya mencadangkan agar satu kawasan khas untuk dijadikan sebagai zon perdagangan bebas bagi penjualan arak," katanya kepada pemberita selepas program Wawancara Menteri Besar Perak bersama Radio dan Berita RTM mengenai pencapaian Kerajaan Negeri Perak sepanjang tahun 2019 di Konti Perak FM di sini hari ini.

Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri mempunyai pandangan berlainan mengenai penjualan arak tersebut selari dengan kehendak penduduk tempatan sebelum ini.

Menurutnya, kerajaan negeri lebih menumpukan usaha ke arah pembangunan prasarana terlebih dahulu selepas Pangkor mendapat status PBC.

Beliau berkata, setelah pembangunan dan pelaksanaan dibuat secara berperingkat serta prasarana lengkap, perkara-perkara lain seperti penjualan barangan seperti minuman keras akan difikirkan kemudian.

Artikel Berkaitan:

"Saya lebih selesa untuk mengambil tindakan ambil masa agar kita tidak buat banyak kesilapan akhirnya hasrat kita untuk mendapatkan nikmat ekonomi untuk anak tempatan.

"Kita boleh benarkan pelabur luar buka kedai sebesar-besarnya, bukalah mall sebesar-besar, buka pub sebesar-besar, kita jual semuanya duty free. Jadi anak tempatan dapat apa?

"Jadi apa yang kita nak buat, biarlah anak negeri kita, anak tempatan mendapat keuntungan," katanya.

Sebelum ini, penjualan minuman keras di Pulau Pangkor mendapat bantahan daripada penduduk Pangkor yang mahukan barangan tersebut tidak disenaraikan sebagai barangan bebas cukai.

Bagaimanapun, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam satu jawapan bertulis di Dewan Negara menjelaskan bahawa pihaknya membuat penetapan polisi pelaksanaan Pulau Pangkor sebagai PBC yang mana secara umum semua barangan yang dibawa masuk ke PBC itu adalah bebas cukai termasuk rokok dan minuman keras.

Keputusan menyenaraikan produk rokok dan minuman keras sebagai barangan bebas cukai di PBC Pangkor bertujuan memberi layanan yang seragam sepertimana dilaksanakan di PBC Langkawi, Labuan dan Tioman.