Ratusan mayat penduduk Gaza ditemui dalam kubur besar

Mangsa korban dikebumikan di pekarangan Kompleks Hospital Nasser. Foto AFP
Mangsa korban dikebumikan di pekarangan Kompleks Hospital Nasser. Foto AFP
A
A
A

GAZA - Ratusan mayat penduduk Gaza telah ditemukan ditanam dalam sebuah kubur besar di bandar selatan Khan Yunis selepas Kompleks Hospital Nasser diserang Israel sejak Sabtu lalu.

Penemuan itu ketika Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berikrar untuk meningkatkan tekanan ketenteraan ke atas Hamas.

Jurucakap pihak berkuasa pertahanan awam Gaza, Mahmud Bassal berkata, kebanyakan mangsa yang maut mempunyai kesan penderaan dan seksaan dilakukan tentera Israel.

"Semua mangsa korban dikebumikan di pekarangan Kompleks Hospital Nasser. Kita sedang menunggu semua mangsa untuk dikebumikan sebelum dapat memberikan jumlah sebenar.

"Ada mayat yang tidak mempunyai pakaian dan menunjukkan (mereka) menghadapi penyeksaan dan penderaan," katanya.

Dalam pada itu, agensi pertahanan awam Gaza berkata, pasukannya menemui 180 mayat sejak Sabtu lalu yang dikebumikan dalam kubur besar di pekarangan Kompleks Perubatan Nasser di Khan Yunis.

Tinjauan AFP sendiri melihat pasukan pertahanan awam menggali kubur untuk menempatkan semua mangsa korban, sambil ditemani tangisan ahli keluarga mereka.

Sebelum ini, Netanyahu mengancam akan adanya tindakan dalam tempoh terdekat selain berulang kali mengatakan Israel akan melancarkan serangan darat ke Rafah.

Artikel Berkaitan:

Kenyataan terbaharu dibuat Netanyahu itu selepas Amerika Syarikat meluluskan pakej bantuan ketenteraan berjumlah $13 bilion (RM62 bilion) kepada Israel.

Hamas menggelarkan bantuan itu sebagai 'lampu hijau' buat Israel untuk meneruskan serangan kejam terhadap rakyat Palestin. - AFP

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28