Kajian NAWABS di Sungai Kerian penuhi kelestarian sumber air

Sanusi melepaskan benih ikan di Sungai Kerian sebagai gimik pelancaran dalam memastikan pemuliharaan sungai dan ekologi terjamin.
Sanusi melepaskan benih ikan di Sungai Kerian sebagai gimik pelancaran dalam memastikan pemuliharaan sungai dan ekologi terjamin.
A
A
A

BANDAR BAHARU - Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang menjalankan Kajian National Water Balance System (NAWABS) di Sungai Kerian bagi memastikan sumber air dapat memenuhi keperluan sektor domestik, industri dan pengairan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kajian berkenaan diharap dapat memanfaatkan negeri ini selain meminta semua pihak berkepentingan memberikan tumpuan dan mengambil tindakan berterusan memelihara sumber air.

Menurutnya, kedudukan Sungai Kerian unik kerana terletak di utara Perak bersempadan dengan daerah Seberang Perai Selatan di Pulau Pinang dan Bandar Baharu, Kedah serta penting untuk kelestarian sumber air.

“Hasrat saya ialah untuk melihat kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri serta jabatan dan agensi bekerjasama merealisasikan pelaksanaan pengurusan sumber air negara secara bersepadu, termasuk kejayaan kajian NAWABS,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Air Sedunia peringkat negeri di Dataran Bandar Baharu, di sini pada Isnin.

Sanusi berkata, kerajaan negeri melalui Syarikat Air Darul Aman (SADA) turut menggunakan sumber air dari Sungai Kerian bagi menjalankan operasi di tiga buah loji, iaitu Loji Rawatan Air (LRA) Mahang meliputi 8 juta liter sehari (mld); LRA Lubuk Buntar satu (14 mld) serta LRA Lubuk Buntar dua sebanyak 25 mld.

“Selain itu, penggunaan air bawah tanah juga harus lebih banyak diterokai bagi memastikan bekalan air sentiasa tersedia untuk penduduk negeri ini,” ujarnya.

Beliau berkata, kepentingan Sungai Kerian di sepanjang daerah Bandar Baharu harus dipulihara berikutan ia bukan sahaja menjadi sumber bekalan air, malah memiliki keunikan khazanah hasil sungai seperti udang galah dan ikan Baung yang menjadi tumpuan pelancong.

“Ramai pelancong datang semata-mata mahu nikmati makanan laut atau pemancing yang gemar memancing di sungai ini. Hasil sungai juga menjadi punca pendapatan penduduk sekitar daerah ini.

Artikel Berkaitan:

“Bandar Baharu pula terkenal dengan tanaman raja buah, Durian Duri Hitam sebagai pengeluar dan pembekal termasuk eksport ke luar negara. Musim durian menjadi tarikan utama pelancong ke sini dan menjadi limpahan ekonomi masyarakat tempatan,” katanya.

Sanusi berkata, kepentingan Sungai Kerian termasuk menjadi pemisah atau sempadan Utara Perak dan Selatan Kedah.

JPS menjalankan Kajian NAWABS di Sungai Kerian bagi memastikan sumber air dapat memenuhi keperluan sektor domestik, industri dan pengairan.
JPS menjalankan Kajian NAWABS di Sungai Kerian bagi memastikan sumber air dapat memenuhi keperluan sektor domestik, industri dan pengairan.

“Daerah Bandar Baharu merupakan daerah paling unik kerana melibatkan sempadan tiga negeri, iaitu Kedah, Perak dan Pulau Pinang dikenali sebagai Gerbang Selatan Kedah.

“Keluasan daerah ini 27,126.98 hektar merangkumi enam mukim, iaitu Serdang, Kuala Selama, Relau, Sungai Kecil ilir, Sungai Batu dan Bagan Samak,” jelasnya.

Dalam pada itu, Sanusi memaklumkan, Sambutan Hari Air Sedunia yang disambut pada 22 Mac setiap tahun, namun pada tahun ini ditunda kepada April bagi menghormati bulan Ramadan.

“Kita tetap adakan sambutan untuk bangkitkan kesedaran orang ramai akan pentingnya sumber air dijaga dan dipulihara untuk melestarikan kehidupan semua hidupan di muka bumi ini,” katanya.

Menurutnya, bertepatan dengan tema Sambutan Hari Air Sedunia tahun ini, ‘Air untuk Keamanan’, tumpuan adalah untuk memanfaatkan sumber air sebagai sumber yang tidak ternilai dalam kehidupan harian.

“Setiap anggota masyarakat perlu diingatkan air merupakan nadi kehidupan dan juga pemangkin untuk kerjasama dan konflik.

“Selain tingkatkan kesedaran, pengisian program berkaitan air diadakan antaranya pameran mini, Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) Buddies dan aktiviti sukan rakyat merangkumi acara isi air dalam botol, boling kelapa, terompah gergasi, tarik tali dan pukul bantal, serta aktiviti River Cruise,” ujarnya.

Sanusi berkata, LSANK Buddies merupakan aktiviti melibatkan pembersihan sungai untuk meningkatkan kesedaran awam selain menyemai nilai murni cintakan sumber air dan alam sekitar dalam kehidupan.

“LSANK Buddies pertama kali diperkenalkan sebagai salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk bersama memulihara dan memelihara sumber air di Kedah agar terus terpelihara pada masa hadapan.

“Program ini juga dapat menanam kesedaran orang ramai pentingnya sumber air dipelihara dan berusaha meningkatkan kualiti air,” jelasnya.

Tambahnya, LSANK juga mewujudkan sistem pemantauan dan penguatkuasaan berkesan dalam memastikan sumber air terpelihara agar kualitinya terjamin.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!