Kebocoran gas ammonia: Jabatan Mineral dan Geosains Perak dikosongkan

Terdapat kebocoran kecil pada tabung silinder ammonia di bahagian penutup injap tangki silinder WC 133 Liter. Foto BBP Ipoh
Terdapat kebocoran kecil pada tabung silinder ammonia di bahagian penutup injap tangki silinder WC 133 Liter. Foto BBP Ipoh
A
A
A

IPOH - Petugas Bahagian Perkhidmatan Teknikal Jabatan Mineral dan Geosains Perak berdepan detik cemas apabila berlaku kebocoran gas ammonia daripada satu daripada tabung silinder di jabatan itu pagi Khamis.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan mengenai insiden itu pada jam 10.32 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh serta Pasir Puteh digerakkan ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, pegawai dan anggota terbabit termasuk lapan daripada Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) BBP Pasir Puteh turut dikerah ke lokasi itu bagi mengawal kebocoran.

Petugas Bahagian Perkhidmatan Teknikal Jabatan Mineral dan Geosains Perak berdepan detik cemas apabila berlaku kebocoran gas ammonia daripada satu daripada tabung silinder di jabatan itu pagi Khamis. Foto BBP Ipoh

"Setibanya jentera di lokasi kejadian, didapati terdapat kebocoran kecil pada tabung silinder ammonia di bahagian penutup injap tangki silinder WC 133 Liter.

"Pemeriksaan juga mendapati berlaku pelepasan gas ammonia pada pengatur yang patah di tabung silinder dan pemeriksaan lanjut dilakukan pada pengatur terbabit bagi memastikan tiada kebocoran lain berlaku," menurutnya dalam kenyataan pada Khamis.

Sabarodzi juga berkata, proses pengungsian bangunan dilakukan manakala pasukan HAZMAT melakukan pemeriksaan bagi mengesan kandungan gas kimia dalam udara dan mendapati keadaan adalah terkawal serta bacaan ammonia menunjukkan 0 partikel per sejuta.

Beliau berkata, operasi ditamatkan pada jam 12.35 tengah hari dan tidak melibatkan mangsa. - Bernama

Artikel Berkaitan: