Stadium MPT bersedia hadapi Liga Super 2024

Suris (kanan) ketika melihat persediaan yang dilakukan di Stadium MPT. Foto MPT
Suris (kanan) ketika melihat persediaan yang dilakukan di Stadium MPT. Foto MPT
A
A
A

STADIUM Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) yang dinaik taraf sebagai venue utama saingan Liga Super Malaysia membabitkan pasukan Sri Pahang FC akan siap sepenuhnya sebelum saingan bermula pada 3 Mei ini.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Fadzli Mohamad Kamal berkata, Stadium MPT dipilih selepas dilihat memenuhi kriteria yang ditetapkan bagi menghadapi saingan liga tersebut.

Menurutnya, pemilihan stadium berkenaan susulan kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan padang di Stadium Darul Makmur yang kini sudah berusia lebih 50 tahun.

"Pemilihan Stadium Temerloh dalam saingan Liga Super 2024 menepati kriteria yang diperlukan seperti kelulusan peratus pencahayaan, padang dan kemudahan sokongan.

"Walaupun kapasiti penonton sekitar 9,283 orang tetapi ia dijangka mampu menyediakan venue yang selesa kepada peminat tegar bola sepak dari Temerloh dan daerah sekitar," katanya.

Ditanya mengenai pemilihan stadium itu berbanding Stadium Tun Abdul Razak Jengka ( STAR), jelasnya pemilihan itu dibuat oleh jawatankuasa khas setelah mengambil kira pelbagai aspek termasuk logistik dan sebagainya.

Keadaan Stadium MPT yang boleh menampung 9,283 penonton dalam satu-satu perlawanan. Persediaan membabitkan pelbagai aspek di Stadium MPT untuk berdepan saingan Liga Super 2024.
Keadaan Stadium MPT yang boleh menampung 9,283 penonton dalam satu-satu perlawanan. Persediaan membabitkan pelbagai aspek di Stadium MPT untuk berdepan saingan Liga Super 2024.

"Lagipun STAR Jengka adalah di bawah pentadbiran Felda yang mempunyai agenda mereka sendiri," katanya sambil menjelaskan kedudukan Temerloh yang berada di Titik Tengah Semenanjung memberikan kemudahan kepada peminat untuk hadir memberikan sokongan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Yang Dipertua MPT, Suris Mihat berkata, MPT memperuntukkan RM150,000 untuk menaik taraf stadium itu yang akan menjadi gelanggang rasmi Sri Pahang musim ini.

Suris berkata, daripada kapasiti 9,283 penonton, 2,384 daripadanya adalah tempat duduk di grandstand manakala baki 6,899 lagi ruang penonton membabitkan Zon A, B, C dan D.

"Jadi dengan kapasiti 9,283 tempat duduk, ia diharap dapat memberi keselesaan kepada penonton, khususnya penyokong skuad Tok Gajah menonton aksi pasukan mereka.

"Setakat ini, segala kemudahan dari segi tempat duduk tiada masalah dan hanya memerlukan penambahbaikan sebelum saingan Liga Super bermula bulan depan," ujarnya.

Jelas beliau, tahap pencahayaan lampu limpah juga mencapai 100 peratus seperti yang ditetapkan oleh Liga Bolasepak Malaysia manakala bilik video bantuan pengadil (VAR) dan bilik produksi sudah mencapai 90 peratus serta padang pula berada pada tahap 85 peratus.

Pada aksi pembukaan pasukan Sri Pahang FC akan melayan kunjungan Kelantan Darul Naim FC di Stadium MPT pada 11 Mei depan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!