Konflik Timur Tengah: Jemaah haji jangan bimbang, tumpu perhatian kepada ibadat

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

PORT DICKSON - Jemaah haji dinasihatkan untuk tidak merasa bimbang dengan konflik di Timur Tengah ketika ini dan menumpukan perhatian sepenuhnya kepada ibadat haji mereka.

Pengarah Eksekutif Haji Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, ini kerana selain kerajaan Malaysia, Arab Saudi juga sentiasa memberi tumpuan dan penekanan dalam aspek keselamatan, termasuk kepada kira-kira tiga juta jemaah haji dari seluruh dunia.

Beliau berkata, kerajaan Arab Saudi sebelum ini juga melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan sangat baik, terutama dalam menangani pelbagai situasi termasuk konflik, ancaman wabak serta bencana.

"Jemaah haji jangan fikir terlalu jauh, tinggal beberapa minggu lagi untuk berangkat ke tanah suci, buatlah persiapan secukupnya dan apabila berada di sana tumpukan perhatian dan jangan terkesan dengan pelbagai khabar angin.

"Paling penting rujuklah TH jika ada sebarang permasalahan, insya-Allah TH akan bersama-sama para jemaah untuk menjalankan ibadah haji sepanjang di sana,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Graduasi Program Eksekutif Pembimbing Ibadat Haji (EPIH) 2024 di sini hari ini.

Syed Saleh berkata, situasi di Timur Tengah ketika ini juga dalam keadaan terkawal dan tidak memberi kesan kepada perjalanan umrah dan haji dari negara ini.

Dua hari lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dilaporkan berkata keselamatan jemaah haji sentiasa menjadi keutamaan kerajaan dan TH, selain bekerjasama rapat dengan kerajaan Arab Saudi bagi memastikan kelancaran perjalanan para jemaah.

Syed Saleh berkata, semua persiapan untuk ke Tanah Suci dengan penerbangan pertama membabitkan 284 peserta pada 9 Mei ini, dilaksanakan dengan baik termasuk penginapan, pengangkutan dan makan minum jemaah sepanjang di sana.

Artikel Berkaitan:

"Pada masa sama, petugas haji juga berlepas ke sana pada minggu ini untuk menyiapkan segala kemudahan seperti pejabat, klinik dan sebagainya bagi menerima kumpulan pertama jemaah,” katanya dan menambah kesemua 31,600 kuota haji pada tahun ini telah diisi sepenuhnya.

Sementara itu, Syed Salleh berkata, program EPIH hasil usaha sama TH dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), bertujuan memastikan setiap Pengkursus Ibadat Haji Tanah Air (PEKTA) menjalani pembelajaran berbentuk akademik secara sistematik, untuk membimbing jemaah haji di tanah Air dan Tanah Suci.

Program itu juga katanya, bertujuan menjelaskan hukum-hakam ibadat haji dan umrah terkini berdasarkan isu dan masalah semasa.

Seramai 126 peserta termasuk dari PEKTA, guru agama daripada syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH), kakitangan TH dan USIM serta orang perseorangan, menyertai program EPIH yang diadakan selama dua hari bermula 20 April. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28