Istito’ah kunci utama bakal haji

Keseluruhan 31,600 bakal jemaah haji telah menerima tawaran untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini. Foto Facebook Haramain (Gambar kecil: Mustafar)
Keseluruhan 31,600 bakal jemaah haji telah menerima tawaran untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini. Foto Facebook Haramain (Gambar kecil: Mustafar)
A
A
A

SHAH ALAM - Konsep istito’ah atau kemampuan perlu dititikberatkan bertujuan memastikan setiap jemaah haji sentiasa bersedia dari segi mental dan fizikal sebelum berangkat ke Tanah Suci.

Penasihat Syariah, Mustafar Mohd Suki berkata, jemaah haji harus melatih diri untuk bersabar kerana apabila berada di sana kelak, mereka akan menghadapi pelbagai kerenah manusia.

Menurutnya, persediaan dari segi mental sangat perlu supaya segala urusan berjalan lancar.

“Jemaah haji wajar melatih diri untuk bersabar kerana urusan ibadah di Tanah Suci agak mencabar.

"Sebagai contoh, perjalanan lebih 40 kilometer dari Arafah ke Mina kemudian kembali semula ke Makkah dan melontar di Jamrah.

“Melatih diri dengan sifat sabar adalah perkara sangat penting,” katanya kepada Sinar Harian.

Hari wukuf bagi tahun ini adalah pada 15 Jun 2024. Foto Facebook Tabung Haji
Hari wukuf bagi tahun ini adalah pada 15 Jun 2024. Foto Facebook Tabung Haji

Mengulas mengenai pengertian istito’ah, Mustafar menjelaskan secara umumnya maksud mampu meliputi sihat tubuh badan, kewangan mencukupi dan mempunyai kenderaan tanpa bahaya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Tabung Haji (TH) turut menjelaskan maksud istito’ah terbahagi kepada enam perkara iaitu kesihatan tubuh badan, kebenaran pihak Arab Saudi (kuota dan visa).

“Ketiga adalah kewangan mencukupi, keempat adalah kenderaan pergi dan pulang iaitu penerbangan dan kelima adalah perjalanan aman bermaksud tiada wabak, keselamatan nyawa, harta benda dan sebagainya.

Penerbangan pertama jemaah haji dari Malaysia tahun ini dijadualkan pada 9 Mei. Foto Facebook Tabung Haji
Penerbangan pertama jemaah haji dari Malaysia tahun ini dijadualkan pada 9 Mei. Foto Facebook Tabung Haji

“Terakhir adalah mahram bermaksud untuk jemaah wanita berusia bawah 45 tahun perlu membawa mahram,” katanya.

Sementara itu, Mustafar berkata, bentuk persediaan mesti dilakukan jemaah sebelum berangkat ke Tanah Suci terbahagi kepada tiga iaitu ilmu, ikhlas dan ikhtiar jasmani.

“Persediaan ilmu mengenai rukun haji meliputi aspek wajib, larangan dan perkara sunah ketika mengerjakan haji.

"Kedua, jemaah perlu ikhlas iaitu dengan perbanyakkan istighfar dan bermunajat.

“Ketiga, ikhtiar jasmani meliputi aspek penjagaan pemakanan dan kesihatan supaya mempunyai kekuatan beribadah apabila berada di sana,” katanya.

Beliau berkata, tapisan kesihatan dilakukan TH kepada jemaah penting bagi memastikan mereka berkeupayaan dari segi fizikal dan mental.

Penerbangan pertama jemaah haji tahun ini bermula 9 Mei dan terakhir pada 9 Jun membabitkan 31,600 jemaah.

Beliau berkata, tapisan kesihatan yang dilakukan Tabung Haji kepada jemaah penting bagi memastikan jemaah haji berkeupayaan dari segi fizikal dan mental.

"Tapisan kesihatan ini adalah untuk mengesan penyakit yang dihadapi oleh bakal haji dan ini penting sebagai rekod kesihatan bagi membolehkan rawatan dibuat di peringkat awal.

"Selain itu, tapisan ini penting untuk memenuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa Arab Saudi dan peraturan kesihatan antarabangsa," katanya.

Mustafar turut menasihati jemaah haji untuk banyak membaca buku berkaitan sejarah Makkah dan Madinah sebagai persediaan diri sebelum tibanya hari penerbangan.

"Bakal haji perlu sentiasa berdoa kepada ALLAH agar dipermudahkan urusan dan ibadah haji diterima.

"Ini meliputi urusan ketika berada di sana, pergerakan penerbangan dan lain-lain," katanya.

Penerbangan pertama jemaah haji dari Malaysia tahun ini dijadualkan pada 9 Mei dan penerbangan terakhir jemaah haji pula dijadualkan pada 9 Jun ini.

Pengarah Urusan Kumpulan Lembaga Tabung Haji (TH), Syed Hamadah Syed Othman pada 2 April lalu, berkata, keseluruhan 31,600 bakal jemaah haji telah menerima tawaran untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini.

Menurut beliau, kira-kira enam peratus daripada 31,600 bakal jemaah haji itu ialah mereka yang membuat rayuan untuk menunaikan ibadah itu.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!