PRK Kuala Kubu Baharu: PKR aktifkan jentera peringkat negeri

Nik Nazmi ketika sidang akbar di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya pada Isnin.
Nik Nazmi ketika sidang akbar di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya pada Isnin.
A
A
A

PETALING JAYA - Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah mengaktifkan jentera kempen di peringkat negeri sebagai persiapan mendepani Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu bulan depan.

Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, sebagai rakan sekutu dalam Pakatan Harapan (PH), parti itu akan memberi kerjasama terbaik membantu gerak kerja calon DAP sepanjang tempoh pilihan raya.

"Saya difahamkan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) ada bercakap dengan beberapa parti lain termasuk BN (Barisan Nasional).

"Sebagaimana PRN (pilihan raya negeri) tempoh hari, pendekatan kita ialah sebagai Kerajaan Perpaduan.

"Memang ini kerusi PH dan oleh kerana akan berdepan PN (Perikatan Nasional), jadi kita ambil pendekatan bantu berkempen dan meletakkan usaha sehabis baik bagi memastikan kemenangan menjadi milik bersama," katanya ketika ditemui selepas sidang akhbar di ibu pejabat PKR, di sini pada Isnin.

Sebelum ini Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dilapor menggesa parti komponen BN untuk membantu siapa sahaja calon yang akan bertanding mewakili Kerajaan Perpaduan pada PRK berkenaan.

Malah beliau turut berkata, BN menghormati sistem yang diperakukan sebelum ini bahawa parti penyandang akan diberi keutamaan untuk meletakkan calon bertanding pada pilihan raya itu.

Dalam pada itu Nik Nazmi memaklumkan, pihaknya akan memastikan setiap parti dalam Kerajaan Perpaduan menyumbang kepada gerak kerja kempen.

Artikel Berkaitan:

"Saya percaya setiap undi penting dan parti sama ada dalam komponen PH atau BN, ada kekuatan tersendiri dan kita perlu garap agar kemenangan berpihak kepada kerajaan.

"Tidak boleh ada yang tertinggal," ujarnya.

Sementara itu mengenai calon, beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata, perkara itu akan dimuktamadkan dalam masa terdekat sebelum dibawa ke Majlis Presiden PH dan Majlis Presiden Kerajaan Perpaduan.

"Keputusan akan diputuskan sebelum penamaan calon dan saya percaya, banyak nama yang disebut tetapi keputusan di tangan DAP," menurutnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!