Suspek hantar bungkusan mencurigakan ke kedutaan asing ditahan

Polis membawa keluar bahan bukti dari bangunan konsulat Itali di Melbourne. - Foto AFP
Polis membawa keluar bahan bukti dari bangunan konsulat Itali di Melbourne. - Foto AFP
A
A
A

SYDNEY - AUSTRALIA . Polis Australia telah menahan seorang lelaki yang dipercayai menghantar bungkusan mencurigakan ke beberapa kedutaan asing di Canberra, Melbourne dan Sydney, semalam.

Menurut Polis Persekutuan Australia, lelaki berusia 48 tahun berkenaan menghantar 38 bungkusan yang masih belum dapat dipastikan isi kandungannya.

Suspek dijadual dihadapkan ke mahkamah di Melbourne hari ini kerana menghantar bahan berbahaya menerusi perkhidmatan pos, satu kesalahan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun jika disabitkan bersalah.

Terdahulu, anggota pasukan kecemasan dikejarkan ke beberapa konsulat asing termasuk Britain, Amerika Syarikat, Switzerland, Pakistan, India, Greece, Korea Selatan, New Zealand, Itali, Sepanyol dan Perancis setelah menerima panggilan kecemasan.

Polis berkata, bungkusan tersebut dipercayai mengandungi bahan tidak dikenal pasti berasal dari kediaman suspek di Shepparton, kira-kira 200 kilometer utara Melbourne.

Sesetengah bungkusan mencurigakan tersebut dilaporkan mempunyai label 'asbestos'.

Setakat ini, pihak berkuasa berjaya menemukan 29 bungkusan dan masih meneruskan misi mencari bungkusan selebihnya. - BBC

Artikel Berkaitan: