Pembelian ekuiti oleh institusi tempatan cecah paras tertinggi

Pembelian bersih oleh institusi tempatan di Bursa Malaysia berjumlah RM1.79 bilion minggu lepas, tertinggi sejak Februari 2018. Gambar hiasan
Pembelian bersih oleh institusi tempatan di Bursa Malaysia berjumlah RM1.79 bilion minggu lepas, tertinggi sejak Februari 2018. Gambar hiasan
A
A
A

PEMBELIAN bersih oleh institusi tempatan di Bursa Malaysia mencecah paras tertinggi enam tahun minggu lepas, berjumlah RM1.79 bilion berbanding pembelian ekuiti domestik bernilai RM430.7 juta pada minggu sebelumnya, kata MIDF Research.

Jumlah tersebut adalah yang tertinggi sejak Februari 2018, menurut Laporan Aliran Dana mingguan terbaharunya pada Isnin.

Firma penyelidikan itu berkata, ini adalah pembelian bersih minggu kelapan berturut-turut oleh institusi tempatan dan dari segi hari, mereka telah membeli selama 11 hari dagangan secara berturut-turut.

Bagaimanapun, seperti kebanyakan rakannya di Asia, Bursa Malaysia merekodkan jualan bersih besar-besaran minggu lepas, berjumlah RM1.59 bilion, aliran keluar bersih mingguan tertinggi dalam tempoh empat tahun, iaitu ketika negara memasuki Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020.

Ini merupakan minggu kelapan berturut-turut jualan bersih di Malaysia oleh pelabur asing.

"Mereka menjual setiap hari pada minggu lepas dan menjadi penjual bersih ekuiti Malaysia selama sembilan hari dagangan berturut-turut.

"Satu-satunya sektor dengan aliran masuk asing bersih minggu lepas ialah telekomunikasi dan media (RM9.3 juta), manakala tiga sektor teratas yang mencatatkan aliran keluar asing bersih tertinggi ialah perkhidmatan kewangan (RM425.8 juta), produk dan perkhidmatan pengguna (RM308. 9 juta), serta produk dan perkhidmatan perindustrian (RM206.3 juta),” katanya.

MIDF Research berkata, pelabur asing menjadi lebih berhati-hati di tengah-tengah konflik geopolitik yang semakin meningkat, selain bimbang kadar faedah di AS akan kekal lebih tinggi untuk lebih lama.

Artikel Berkaitan:

Bagi peruncit tempatan, mereka juga kekal sebagai penjual bersih untuk minggu keenam berturut-turut, dengan jualan bersih bernilai RM195.8 juta.

Mereka membuat pembelian sebanyak RM59.5 juta pada Isnin tetapi bertukar kepada penjual bersih untuk sepanjang minggu.

Dari segi penyertaan, jumlah dagangan harian purata (ADTV) menyaksikan peningkatan secara menyeluruh, diterajui oleh institusi-institusi tempatan (30.2 peratus), diikuti oleh pelabur asing dan peruncit tempatan masing-masing pada 28.4 peratus dan 19.5 peratus. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!